Pusat Jualan dan Pameran Kereta Hong Huat Automobile Sdn Bhd yang diusahakan Shu Ling bersama-sama ahli keluarganya di Jalan Batu Pahat-Kluang, Kluang.

KLUANG – Bermula dengan menjual kereta terpakai sebelum berkembang dan berjaya sebagai wakil jualan kereta berjenama, kini mempunyai pusat jualan serba moden dan lengkap di bandar ini.

Itu simbol kegigihan Pengarah Urusan Hong Huat Automobile Sdn Bhd, Datin Goh Shu Ling yang melakar sejarah sendiri menjadi seorang usahawan wanita berjaya.

Menurutnya, pencapaian tersebut bukan satu perkara mudah atau mengambil masa atau jalan yang singkat.

Beliau akui pencapaian itu lahir daripada kegigihan serta sokongan keluarga yang bersama membina perniagaan sejak 1993, termasuk ayahnya, Goh Hui Yong.

Katanya, memilih daerah ini sebagai lokasi tetap operasi telah mengukuhkan lagi komitmen keluarga mereka untuk terus maju dan berkembang.

“Di Taman Intan dahulu, kami hanya menyediakan khidmat jualan kenderaan. Namun apabila permintaan pelanggan terhadap penyelenggaraan dan pembaikan semakin meningkat, kami mahu menawarkan pengalaman yang lebih baik serta menyeluruh.

“Justeru, kami membuka pusat servis dan pembaikan kenderaan di Kawasan Perindustrian Mengkibol,” katanya ditemui selepas pelancaran Pusat Jualan dan Pameran Kereta Hong Huat Automobile Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran pusat tersebut disempurnakan Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Datuk K Ravindran, bersama-sama Timbalan Pengarahnya, Takashi Obata.

Shu Ling berkata, melangkah setapak lagi beliau mewujudkan sebuah pusat lengkap empat dalam satu, dibangunkan atas tanah seluas kira-kira 4 hektar di Jalan Batu Pahat-Kluang.

Jelasnya, ini merangkumi Pusat Jualan, Pusat Selenggara, Pusat Membaiki Badan Kenderaan dan Pusat Mengecat.

“Pusat serba lengkap ini membolehkan pelanggan mendapatkan semua perkhidmatan di satu lokasi dengan lebih cepat, teratur dan profesional. Ini juga mencerminkan komitmen kami dalam meningkatkan mutu perkhidmatan serta memberikan nilai terbaik kepada pelanggan.

“Saya yakin pusat ini akan memberi manfaat besar kepada pemilik Toyota di daerah ini, selain menyokong pertumbuhan jualan dan memperkukuh kehadiran jenama Toyota dalam komuniti setempat,” katanya penuh optimis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast