Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

KUALA LUMPUR — Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal pemalsuan dokumen membabitkan tujuh warisan bagi membolehkan mereka beraksi untuk pasukan kebangsaan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, berikutan skandal itu nama baik negara serta integriti Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini tercalar.

“Parlimen tidak boleh berdiam diri dan kerajaan tidak boleh mengambil sikap cuci tangan ketika maruah negara tercalar sedemikian rupa.

“Ini telah memberi kesan langsung kepada persepsi dunia terhadap integriti sistem kewarganegaraan Malaysia. Siasatan tidak boleh dibiarkan kepada PDRM sahaja memandangkan polis terletak di bawah KDN, sekaligus mencetuskan persepsi konflik kepentingan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada peringkat jawatankuasa Belanjawan 2026 bagi Kementerian dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga RCI menyemak mengapa syarat wajib penguasaan Bahasa Melayu tidak dilaksanakan terhadap pemain terbabit serta meneliti sama ada dakwaan bahawa Menteri Dalam Negeri menggunakan kuasa budi bicara secara luar biasa dalam meluluskan kewarganegaraan itu benar atau tidak.

“Jika benar kelulusan kewarganegaraan itu melanggar undang-undang atau prosedur, ia membawa implikasi besar terhadap sistem keselamatan negara, integriti jabatan awam dan kepercayaan rakyat.

“Penubuhan RCI yang bebas dan telus adalah satu-satunya cara untuk memulihkan maruah negara dan mengembalikan keyakinan terhadap institusi pentadbiran dokumen penting negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast