JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri serta semua agensi keselamatan dan pengurusan bencana kini bersiap siaga hadapi banjir terutama di Segamat dan Tangkak.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ini termasuk pemantauan paras air sungai, persediaan logistik serta penyelarasan tindakan di kawasan berisiko.
Jelasnya, langkah tersebut diambil bagi memastikan setiap keperluan bantuan dapat digerakkan dengan segera sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.
“Saya telah menerima makluman terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa amaran hujan berterusan (waspada) telah dikeluarkan bagi daerah Segamat dan Tangkak, dari 28 hingga 29 November 2025.
“Amaran ini dikeluarkan berikutan jangkaan sistem cuaca bertekanan rendah yang kini berada di Selat Melaka dan dijangka bergerak ke timur merentasi Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang dalam tempoh tersebut.
“Pergerakan sistem cuaca ini turut memberi potensi berlakunya hujan berterusan di kawasan utara Johor,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik dalam Facebook miliknya.
Onn Hafiz seterusnya meminta orang ramai sentiasa memantau perkembangan cuaca semasa.
Begitu juga katanya, patuh arahan pihak berkuasa terutama mereka yang tinggal di kawasan rendah, berhampiran sungai atau yang kerap terjejas ketika musim hujan.- MalaysiaGazette
















