Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mendesak kerajaan menyatakan pendirian serta keputusan rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pendedahan terbaharu oleh FIFA Appeal Committee mengenai skandal kewarganegaraan tujuh pemain bola sepak ‘warisan’.

Berucap ketika sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2026 bagi KDN, Ramkarpal berkata, pendedahan terkini FIFA merupakan perkembangan baharu yang meletakkan Malaysia dalam situasi serius dan kerajaan tidak boleh menganggap isu tersebut sudah selesai.

Namun ketika Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, menggulung perbahasan, kementerian hanya menyatakan bahawa proses kewarganegaraan pemain-pemain terlibat adalah mengikut peruntukan undang-undang, dan isu selebihnya berada dalam bidang kuasa FIFA.

“Kementerian Dalam Negeri melalui Yang Berhormat Menteri telah memberi penjelasan jelas dan terperinci bahawa semua proses permohonan kewarganegaraan individu terlibat dibuat berdasarkan peruntukan Perkara 19. Isu itu berada di luar lingkup urusan kami dan tertakluk kepada FIFA,” katanya.

Jawapan itu menyebabkan Ramkarpal bangun mencelah, mempersoalkan mengapa kementerian tidak langsung menyentuh dapatan terbaru FIFA.

“Ada perkembangan baharu dengan pendedahan FIFA. Saya tanya apakah keputusan KDN selepas laporan itu? Apakah tindakan baharu kerajaan? Ini tidak dijawab,” tegas Ramkarpal.

Beliau juga menuntut penjelasan mengapa kementerian tidak menyatakan sama ada siasatan baharu akan dibuka terhadap kemungkinan pemalsuan dokumen, kelulusan kewarganegaraan dalam tempoh luar biasa singkat, serta status pasport Malaysia yang dikeluarkan kepada tujuh pemain tertentu.

Ramkarpal menegaskan pendedahan FIFA bukan isu kecil kerana ia menunjukkan kewujudan maklumat baru yang bercanggah dengan penjelasan terdahulu oleh PDRM dan SPRM, dan kerana itu KDN wajib memberikan jawapan konkrit di dalam Dewan.

Shamsul Anuar tidak memberikan penjelasan tambahan selepas ditegur dan sesi penggulungan diteruskan ke kementerian seterusnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast