KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkongsi berkenaan surat yang kini sedang tular di dalam laman media sosial kononnya diutuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada penduduk Sabah.
Menyifatkannya sebagai lucu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, hanya penduduk Sabah yang secara tiba-tiba mendapat `surat mesra’ daripada Perdana Menteri itu dalam minggu terakhir sebelum Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.
Malah, beliau juga beranggapan perkara itu sebagai `ajaib’ memandangkan surat berkenaan bertarikh 30 September lalu, namun hanya sebelum hari mengundi pada Sabtu ini, selain hanya dihantar ke Sabah yang sedang mengundi.
“Negeri lain? Sunyi sepi. Macam “Malaysia Madani”, tapi versi Sabah-Only Edition.
“Kalau benar surat itu urusan kerajaan yang dikeluarkan September, kenapa ia diperam hampir dua bulan, dan hanya dibukakannya ketika undi Sabah diperlukan?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sehubungan itu, menurut Wan Ahmad Fayhsal pengedaran surat tersebut adalah jelas bukan surat bantuan, tetapi surat kempen yang ditukar baju menjadi urusan rasmi.
“Isi surat pun penuh gaya iklan politik! Tolak PH dan sekutu mereka!” katanya.
Terdahulu, beberapa laman sosial media hari ini berkongsikan surat itu yang menggunakan logo Jata Malaysia tertera perkataan `Perdana Menteri Malaysia’ yang didakwa diedarkan kepada penduduk Sabah.
Antara lain, isi kandungan surat itu yang menggunakan tanda tangan Anwar menyebut penerimanya merupakan salah seorang penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan berharap bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban hidup keluarga berkenaan.
Bagaimanapun, tidak ada mana-mana pihak setakat ini khususnya daripada agensi kerajaan Pusat yang tampil membuat kenyataan termasuk menafikan berkenaan kesahihan surat yang tular tersebut. – MalaysiaGazette
















