KUALA LUMPUR – Bank Rakyat menawarkan bantuan penangguhan bayaran ansuran pembiayaan sehingga enam bulan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir yang berlaku di seluruh negara baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, kemudahan moratorium ini bertujuan untuk mengurangkan beban
kewangan dan komitmen yang ditanggung oleh pelanggan dalam waktu yang mencabar ini.
“Kemudahan moratorium yang ditawarkan ini merangkumi produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i, Pajak Gadai-i serta Kad Kredit-i.
Pelanggan yang terjejas boleh memohon menerusi e-mel [email protected] dengan menyertakan nama penuh, nombor kad
pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.
Manakala bagi pelanggan Kad Kredit-i boleh menghantar permohonan ke emel [email protected].
Pelanggan perniagaan juga boleh terus mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran bagi mendapatkan bantuan. – MalaysiaGazette















