Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bersama calon Pakatan Harapan (PH) N.42 Melalap, Datuk Jamawi Jaafar sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Tenom, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 26 NOVEMBER 2025.

TENOM – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Melalap, Datuk Jamawi Jaafar mengakui semangatnya melonjak tinggi untuk menghabiskan baki kempen PRN Sabah ke-17 selepas menerima suntikan moral daripada bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Jamawi yang menerima kehadiran Khairy dalam siri kempennya semalam berkata, sokongan peribadi daripada figura berprofil tinggi itu menjadikannnya bertambah yakin untuk menghadapi hari mengundi.

“Bila dia (Khairy) datang membuatkan saya bertambah yakin,” ujarnya ringkas kepada MalaysiaGazette selepas mengucapkan terima kasih kepada Khairy yang bergegas untuk membantu calon lain.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (tengah) mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) N.42 Melalap, Datuk Jamawi Jaafar (empat kiri) beramah mesra dengan penduduk sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Tenom, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 26 NOVEMBER 2025.

Dengan semangat baharu itu, Jamawi bertekad untuk terus menyantuni pengundi-pengundi di DUN Melalap secara agresif.

“Saya akan teruskan gerak kempen, sekurang-kurangnya 15 kempen sehari.

“Setakat ini sudah 5,000 pengundi saya dapat salam dan sasaran saya adalah 6,000 dan saya yakin dapat habiskan,” katanya.

Ketika ditanya apakah yang dibisikkan Khairy sebelum meninggalkan Melalap, Jamawi mendedahkan satu pesanan penting.

“Khairy menyampaikan salam sayang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat saya.

“Bila dengar salam tu saya lagi tambah semangat dan yakin untuk terus berjuang dalam siri kempen ini.

“Bila dapat salam sebegitu, saya anggap sebagai penghargaan perdana menteri kepada saya di Melalap ini,” katanya lagi.

Menjadikan kehadiran Khiary dan salam itu sebagai suntikan motivasi tertinggi, Jamawi akan terus berhadapan tujuh lagi pencabarnya untuk Dun Melalap ini.

“Saya tidak memandang rendah calon-calon lain.

“Saya beruntung kerana mendapat sokongan daripada penyokong parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) memandangkan kedua-dua gabungan itu tidak meletakkan calon di Melalap,” jelasnya.

Jamawi yang turut meletakkan MISI2030 dengan menawarkan 11 manifesto untuk memajukan Melalap menjelang tahun 2030.

“MISI2030 sebuah pelan pembangunan sehingga 2030 yang berteraskan lapan fokus utama termasuk pertanian, sosioekonomi, perubatan, infrastruktur, modal insan, pendidikan, wanita dan belia serta pelancongan.

“Ia akan mampu dicapai dalam tempoh lima tahun jika PH diberikan mandat,” katanya.

Tujuh lagi lawan Jamawi di DUN Melalap adalah Gabriel George Tulas (Bebas), Priscella Peter (KDM), Alviana Linus (STAR), Cheld Bryend Lind (Warisan), Junik Bajit (UPKO), Kevin Chong (PIS) dan Fatimah Ibrahim (Bebas). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.