Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri mengulangi pendirian dirinya tidak akan melindungi sesiapa sekiranya ada aspek yang perlu disiasat pihak berkuasa.

Jurucakap Keraajaan Perpaduan, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dizahirkan Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Perdana Menteri telah menegaskan bahawa beliau tidak akan melindungi mana-mana pihak, sesiapa pun sekiranya ada apa-apa aspek yang perlu disiasat oleh pihak berkuasa termasuk pihak SPRM,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi hari ini.

Fahmi dalam pada itu berkata, Anwar turut memberikan peringatan kepada semua Jemaah Menteri agar sentiasa memantau pegawai masing-masing serta tidak melindungi mereka.

“Jemaah Menteri diberikan ingatan untuk sentiasa memantau terutama pegawai-pegawai dan tidak akan dilindungi sekiranya berlaku apa-apa perkara yang mungkin bersifat salah laku,” kataya lagi.

Ditanya sama ada PKR akan membincangkan isu mengaitkan Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Fahmi berkata, perkara tersebut belum dibawa ke meja rundingan peringkat parti.

“Memandangkan pada waktu ini, beliau (Shamsul Iskandar) baru meletakkan jawatan sebagai seterusnya politik, belum lagi ada perbincangan di pihak parti mengenai apa-apa jawatan politik.

“Jadi, mungkin kita perlu tunggu sehingga mesyuarat majlis pimpinan pusatnya akan datang,” jelasnya.

Semalam, Anwar berkata, keputusan Shamsul Iskandar meletakkan jawatan susulan terkait dakwaan rasuah, membuktikan bahawa Kerajaan Madani mengamalkan tahap integriti yang tinggi.

Beliau berkata, tindakan Shamsul Iskandar meletakkan jawatan adalah suatu perkara yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana pentadbiran sebelum ini.

Pada Selasa, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri berikutan terdapat percubaan untuk menyerang beliau dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan Madani.

Hari ini, Shamsul Iskandar hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan pemberian rasuah oleh seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei.

Kehadiran Shamsul Iskandar adalah sebahagian daripada proses pengumpulan keterangan yang sedang dijalankan SPRM susulan pendedahan dibuat sebuah portal berita baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast