Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Dua kes kematian akibat banjir yang direkodkan di Kelantan, masing-masing di Gua Musang dan Tanah Merah pada 21 dan 26 November 2025.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyeru semua penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada, mengikuti arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke PPS jika diarahkan.

“Utamakan keselamatan ahli keluarga, khususnya kanak-kanak, warga emas dan golongan OKU, serta elakkan berada berhampiran sungai, kawasan rendah dan lokasi yang mudah dinaiki air.

“Mereka yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan sokongan di PPS terdekat atau menghubungi saluran kecemasan yang rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nancy berkata, setakat hari ini, banjir di seluruh negara kekal serius dengan 242 pusat penempatan sementara (PPS) beroperasi, melibatkan 9,033 keluarga dan 27,489 mangsa.

Amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia semalam menunjukkan hujan sangat lebat dan berterusan dijangka berlaku di beberapa negeri termasuk Terengganu, Pahang, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Beberapa negeri lain seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Johor turut berada pada tahap amaran buruk dan waspada.

Keadaan ini boleh meningkatkan risiko banjir kilat, limpahan sungai dan tanah runtuh, terutama di kawasan rendah.

Sebagai langkah kesiapsiagaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah digerakkan sejak awal bersama kerajaan negeri dan agensi bencana lain.

JKM juga bersedia mengaktifkan PPS tambahan pada bila-bila masa sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.

“Bekalan makanan, selimut dan keperluan asas berada pada paras mencukupi dan akan terus diagihkan mengikut keperluan mangsa di lapangan.

“Kita kini berdepan fasa cuaca yang mencabar, dan keselamatan rakyat adalah keutamaan. KPWKM melalui JKM akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa serta memastikan setiap keluarga terkesan menerima bantuan secepat mungkin dan dengan penuh empati,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast