PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melanjutkan tempoh pengisian data dalam Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) sehingga 5 Disember depan susulan kesukaran yang dihadapi guru ketika menggunakan sistem berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata pemantauan berterusan melalui platform Application Performance Monitoring (APM) menunjukkan berlakunya kesesakan dan peningkatan jumlah akses pengguna terhadap Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu.
“Pemantauan berterusan terhadap MOEIS mendapati berlakunya kesesakan serta peningkatan jumlah akses pengguna terhadap Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu,” menurut kenyataan itu.
Berikutan itu, KPM memutuskan untuk memanjangkan tempoh pengisian bagi Pentaksiran Bilik Darjah (Pentaksiran Berterusan dan Ujian Akhir Sesi Akademik), SEGAK & BMI 5-9T serta j-QAF.
“KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengoperasian MOEIS bagi membantu memudahkan tugas guru selain memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka terpelihara,” katanya lagi.
KPM turut memaklumkan bahawa pertanyaan atau aduan mengenai MOEIS boleh dibuat melalui hotline 03-8884 3736 atau sistem ICT Service Desk (ISD) di pautan https://isd.moe.gov.my/. -MalaysiaGazette
















