JASIN – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebatang pokok tumbang di Jalan Selandar menghala ke Machap, Jasin awal pagi tadi.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba, Tc Zulkhairani Ramli berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bistari menerima panggilan kecemasan pada jam 6.57 pagi sebelum sebuah jentera digerakkan ke lokasi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) diketuai Komander Operasi, Penolong Bomba Kanan I Abdul Razak Taat di tempat kejadian, didapati terdapat sebatang pokok tumbang merintangi jalan.
“Seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang menunggang motosikal dipercayai gagal mengelak sebelum melanggar pokok tersebut,” katanya.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pemotongan pokok bagi memastikan laluan kembali selamat untuk pengguna jalan raya.
“Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 7.49 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini pagi ini.
Operasi turut dibantu empat anggota KKM dan dua anggota polis. – MalaysiaGazette
















