Pengerusi Parti Nasionalis Bangladesh, Begum Khaleda Zia, dirakam di dalam sebuah kereta ketika beliau berangkat ke London untuk mendapatkan rawatan perubatan, di Dhaka pada 7 Januari 2025. Foto AFP

DHAKA – Kesihatan bekas Perdana Menteri Bangladesh, Khaleda Zia, semakin merosot sejak beliau dimasukkan ke hospital, mendorong ahli keluarga dan anggota partinya menggesa rakyat untuk berdoa.

Zia, 80, dimasukkan ke hospital pada 23 November dengan simptom jangkitan paru-paru dan kini sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Mirza Fakhrul Alamgir daripada Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) memberitahu wartawan lewat Jumaat bahawa “doktor memaklumkan kepada kami bahawa keadaannya sangat kritikal.”

Beberapa pemimpin kanan BNP dan penyokong yang bimbang melawat hospital pada Sabtu untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaannya.

Akhbar berbahasa Inggeris, The Daily Star, melaporkan , Zia mengalami “masalah jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang, diabetes, artritis serta penyakit berkaitan mata.

Beliau mempunyai perentak jantung kekal dan pernah menjalani prosedur stent jantung sebelum ini, menurut laporan tersebut.

Anak sulung Zia, Tarique Rahman, yang menetap di London sejak 2008, meminta rakyat Bangladesh berdoa untuk pemulihan ibunya dalam satu hantaran di media sosial pada Sabtu.

“Kami merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas semua doa dan kasih sayang anda kepada Begum Khaleda Zia yang sangat dihormati,” kata Rahman, 60.

Rahman berkata, beliau tidak dapat kembali ke Bangladesh kerana keadaan yang berada di luar kawalannya.

“Saya berkongsi kerinduan mendalam seperti mana-mana anak yang ingin berada di sisi ibu ketika saat genting. Namun, keputusan untuk pulang bukanlah sesuatu yang mudah atau boleh saya tentukan sendiri,” katanya.

Zia, yang pernah berkhidmat tiga penggal sebagai perdana menteri, dipenjarakan atas kes rasuah pada 2018 di bawah pemerintahan Sheikh Hasina, yang turut menghalangnya daripada ke luar negara untuk rawatan perubatan.

Beliau dibebaskan tahun lalu, tidak lama selepas penyingkiran Hasina. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast