ALOR GAJAH – Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak sanggup menahan kesejukan berendam banjir selama dua jam di hadapan pagar rumahnya di Kampung Pengkalan Pauh, Lubok China di sini.
Tindakan nekadnya itu sejak jam 2 petang demi menunggu ketibaan pasukan penyelamat bagi memindahkan ibu, bapa, datuk dan neneknya selepas halaman dan sebahagian rumah mereka ditenggelami banjir sedalam kira-kira 1.3 meter.
Bagaimanapun, riak kelegaan jelas terpancar di wajah Muhammad Danial Mohd Fauad, 24 apabila melihat sebuah bot penyelamat daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pertubuhan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM) tiba.

Menurut ibunya, Siti Sashanah Mohd Jelani, 51, anaknya itu enggan berganjak kerana takut terlepas bantuan selepas dia meminta diselamatkan sejak jam 2 petang.
“Saya mula minta bantuan keluarga diselamatkan selepas solat Jumaat selepas mendengar siren kecemasan amaran banjir masa banjir baru di paras lutut sebelum naik ke paras dada saya dalam masa yang singkat.
“Kelewatan bantuan mungkin disebabkan jalan menuju ke rumah kami ini berliku-liku jadi susah bot nak sampai namun saya bersyukur akhirnya dapat diselamatkan dan dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah berkata, banjir kali ini adalah kejadian kelima yang dilalui sejak 2021 namun disifatkan antara yang paling membimbangkan.
“Kalau nak kira teruk, tahun 2021 lagi teruk tapi kali ini lebih membimbangkan sebab tengok berita akan berlaku juga Ribut Tropika Senyar yang mungkin akan menyebabkan bencana besar.
“Ribut malam tadi (kelmarin) pun memang kuat sampai saya tak boleh tidur. Kejap-kejap tengok luar kerana kebetulan suami pula demam.
“Pukul 5 pagi saya dapat tahu air dah mula naik dekat Balai Polis Lubok China sebab itu nak pergi kerja pun tak boleh kerana jalan semua dah tenggelam,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi PSBM, Ashwad Abd Rahim, berkata pihaknya berdepan cabaran memujuk penduduk yang berdegil untuk berpindah meskipun paras air semakin meningkat.
“Cabaran utama semalam ramai kata mereka sudah biasa banjir dan yakin air akan surut sedangkan sebaliknya apabila air naik semakin cepat.
“Ada pasangan warga emas yang pasukan APM terpaksa mengambil masa selama hampir 45 minit untuk memujuk sebelum mereka setuju,” katanya. – MalaysiaGazette
















