Anggota polis dilaporkan hilang selepas kereta dinaikinya terperangkap dalam banjir berhampiran Klinik Desa Giching, semalam, ditemui lemas pagi tadi.

SEPANG – Seorang anggota polis yang dilaporkan hilang selepas kereta dinaiki terperangkap dalam banjir berhampiran Klinik Desa Giching, semalam, ditemui lemas pagi tadi.

Mangsa, Konstabel Muhammad Rahimi Amiruddin, 23, ditemukan pasukan polis kira-kira jam 7.30 pagi pada jarak hampir 50 meter dari lokasi terakhir beliau dilaporkan hilang.

Difahamkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejak malam kejadian yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penyelamat lain.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut dan polis dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian itu dalam masa terdekat.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pemandu dipercayai lemas selepas kereta Perodua Bezza dinaikinya terbabas dalam parit berhampiran Klinik Desa Giching, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar dilaporkan berkata, mangsa dipercayai cuba berenang keluar dari parit selepas kenderaan dinaiki tidak dapat meneruskan perjalanan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, mangsa yang bertugas di Balai Polis Nilai sejak setahun lalu, dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja dalam kejadian jam 10.30 malam itu.

Beliau berkata, sebelum itu mangsa yang berasal dari Johor, dikatakan melawat keluarga di kampung berkenaan.

Pasukan penyelamat yang memulakan operasi malam tadi turut menyelam ke dalam lubang pembetung berdekatan lokasi terakhir mangsa dilihat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast