Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung memberi amaran keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah harus dibaca sebagai isyarat jelas bahawa sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH), khususnya di kawasan bandar, semakin goyah.

Beliau berkata, mesej besar daripada keputusan itu menunjukkan integriti dan tawaran progresif PH kini dianggap ‘tidak jelas dan tidak meyakinkan’ oleh pengundi.

“Ini amaran bahawa integriti dan tawaran progresif PH kelihatan tidak jelas dan tidak meyakinkan. Ini bukan isu Sabah semata-mata tanpa perubahan sebenar, gelombang penolakan boleh berlaku di seluruh negara.

“Jangan sekali-kali mengambil mudah sokongan pengundi bandar,” katanya menerusi hantaran pada laman Facebook, hari ini.

Katanya, kebimbangan penolakan yang berlaku di Sabah boleh menjadi petanda awal kepada perubahan lebih besar dalam mood pengundi di kawasan-kawasan bandar seluruh negara.

Pada PRN Sabah ke-17 semalam, beberapa kerusi bandar dan separa bandar memperlihatkan peralihan sokongan, termasuk pengundi muda dan profesional, satu kelompok yang sebelum ini condong kepada PH.

Beberapa penganalisis menyifatkan prestasi lemah PH di beberapa pusat bandar sebagai gambaran ketidakpuasan hati pengundi yang mahukan tindakan lebih jelas dalam isu integriti dan pembaharuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast