KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Bhd menyambung semula penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL) ke Lapangan Terbang Brisbane (BNE), baru-baru ini.
Penerbangan sulung MH135 berlepas dari Kuala Lumpur pada 29 November itu menandakan laluan penting berkenaan dikembalikan semula bagi memenuhi peningkatan permintaan perjalanan.
Malaysia Airlines dalam kenyataannya berkata penyambungan semula perkhidmatan tersebut mendapat sambutan menggalakkan mencerminkan permintaan kukuh terhadap laluan tersebut.
Jelasnya, ini dibuktikan menerusi kadar muatan yang tinggi iaitu 86 peratus bagi penerbangan keluar ke BNE dan 99 peratus bagi penerbangan pulang ke KUL..
“Dengan penyambungan semula perkhidmatan ini, Malaysia Airlines kini menawarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke lima bandar di Australia, sekali gus mengukuhkan komitmennya terhadap pasaran tersebut dan melengkapkan peningkatan kekerapan ke Sydney, Melbourne, Perth dan Adelaide,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Malaysia Airlines telah mula memperkenalkan armada baharu A330neo pada laluan tertentu ke Australia bagi menawarkan lebih banyak keselesaan kepada penumpang penumpang di samping kecekapan bahan api yang lebih baik dan ciri kabin terkini.
Menjelang suku pertama 2026, Malaysia Airlines akan mengendalikan armada pesawat berbadan lebar termuda ke Australasia.
Menurut kenyataan itu lagi, penerbangan MH135 beroperasi dari KUL ke BNE, berlepas pada 8.40 malam setiap Selasa, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad, manakala perkhidmatan pulang, penerbangan MH134 dari BNE ke KUL, berlepas pada 8 pagi pada hari yang sama.
Ketua pegawai komersial Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), Dersenish Aresandiran, berkata penyambungan semula perkhidmatan terus ke Brisbane mengukuhkan komitmen Malaysia Airlines dalam memperkasa kehadirannya di Australia dan meningkatkan rangkaian sambungan global.
“Pengembangan strategik ini menyokong aliran pelancongan dan perdagangan antara Malaysia dan Queensland, di samping menawarkan lebih banyak kemudahan dan pilihan kepada para pengembara,” katanya. -MalaysiaGazette
















