MELAKA – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesan sebanyak 145 lokasi infrastruktur awam terjejas di seluruh negara susulan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negara sejak awal November lalu.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, 63 lokasi melibatkan infrastruktur Persekutuan, 82 lagi di peringkat negeri, merangkumi pelbagai bentuk kerosakan dan gangguan struktur.
“Sehingga hari ini, sebanyak 145 lokasi dikesan terjejas dengan pelbagai jenis bencana yang mana mengikut pecahan, banjir (82), banjir kilat (32) dan cerun runtuh sebanyak 16 kes.
“Turut sama adalah sembilan lokasi jalan runtuh, jalan mendap (5) serta satu lokasi jambatan rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kejadian lubang benam tersebut di Jalan Persekutuan FT033, Seksyen 22.0 Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (Lebuh SPA) menghala ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Ir Roslan Ismail dan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Mengulas lanjut beliau berkata, Bilik Gerakan Bencana KKR juga telah diaktifkan dan kini beroperasi 24 jam, membolehkan pemantauan dilakukan secara menyeluruh di seluruh negara.
“Kita sudah mengaktifkan bilik gerakan bencana…sekarang pun 24 jam kita pantau (dan) persiapan dilakukan lebih awal.
“Ini bagi memastikan kerja-kerja baik pulih dapat dilakukan segera, sekali gus meminimumkan risiko kepada pengguna,” katanya.
Sementara itu, Alexander berkata, siasatan awal mendapati kejadian lubang benam berpunca daripada (culvert) struktur pembetung runtuh, menyebabkan mendapan besar pada permukaan jalan.
“Kerja-kerja pembaikan sedang disegerakan…kita akan lihat (siasat) untuk melihat (struktur) culvert yang merentasi sepanjang jalan (Lebuh SPA) ini.
“Kita tidak mahu hanya membaiki kawasan ini sedangkan mungkin bahagian lain (culvert bahagian seberang) juga mempunyai masalah,” katanya. – MalaysiaGazette
















