KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia, Asrul Nizam Apridwson disahkan hilang dipercayai menjadi mangsa akibat kejadian tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia pada 27 November lepas.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya berkata, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan akan terus berhubung dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia, Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Sumatera Barat, dan polis tempatan (Polres Padang Panjang) untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat.
“Rakyat Malaysia yang kini berada di kawasan terjejas dinasihatkan untuk mendaftarkan kehadiran mereka dengan Konsulat Jeneral bagi memudahkan pemberian bantuan dan komunikasi yang tepat pada masanya,” katanya hari ini.
Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Sumatera Barat untuk sentiasa mengikuti semua arahan daripada pihak berkuasa tempatan serta menjauhi zon terdedah kepada tanah runtuh dan banjir, terutamanya laluan Padang-Bukittinggi di kawasan Lembah Anai, yang masih ditutup.
Konsulat Jeneral Malaysia di Medan boleh dihubungi melalui talian +62 823-6164-6046 , yang beroperasi secara 24 jam atau e-mel kepada: [email protected]. -MalaysiaGazette
















