SERDANG – Siapa sangka hobi bermain hoki memakan diri apabila Faidz Mohamad Amin buta sebelah selepas terkena kayu hoki 10 tahun yang lalu.
Meskipun mempunyai kekurangan, belia berkenaan tidak berputus asa, sebaliknya nekad untuk melakar masa depan yang gilang gemilang.
Buktinya, kini Faidz merupakan graduan Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan kepujian di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Anak bongsu daripada enam orang adik-beradik yang berasal daripada Kuala Lumpur itu berkata, usaha kerasnya beberapa tahun ini akhirnya membuahkan hasil.
“Sebenarnya saya mengalami kecederaan semasa berumur 15 tahun semasa bersukan hoki, kebetulan masa latihan kayu hoki terkena mata selepas itu saya hilang keupayaan sebelah mata (kanan).
“Jadi saya bergantung dengan hanya sebelah mata sahaja selama ini. Alhamdulillah tiada yang mustahil, percaya kepada Tuhan, saya dapat melalui SPM kemudian UPM di Sarawak dan melanjut pelajaran di sini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen UPM Ke-49 Sidang 2, Tahun 2025.
Mengulas lanjut, Faidz melihat program Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem berpotensi besar untuk melahirkan mahasiswa yang mampu membantu negara dalam isu keterjaminan makanan.
Katanya, ilmu yang ditimba sepanjang menuntut dalam bidang tersebut mencetuskan idea terhadap inovasi teknologi berasaskan pertanian dalam negara.
“Saya percaya dengan bidang ini kita dapat membantu negara kita untuk mencapai zero hunger (sifar kelaparan) dengan food security (keterjaminan makanan)
“Bidang ini mempunyai kaitan dengan keterjaminan makanan apabila negara sekarang berdepan dengan beberapa cabaran antaranya sumber air, kekurangan ruang untuk pertanian,” tambahnya.
Seramai 1,414 graduan pelbagai program pertanian diraikan pada majlis konvokesyen itu.
Majlis konvokesyen bermula Sabtu lalu hingga Jumaat ini di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM. – MalaysiaGazette
















