KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa bertindak tegas dalam mengawal selia industri kawalan keselamatan khususnya dalam menghapuskan kartel-kartel yang wujud dalam industri itu.
Ahli Dewan Negara, Datuk C. Sivaraj berkata, ketika ini wujud kartel yang semakin teratur dan semakin berani mengawal tender-tender kawalan keselamatan kerajaan, terutama di Kementerian Pendidikan dan beberapa kementerian lain.
Dakwa beliau, kewujudan kartel-kartel itu bukan lagi isu kecil, malah merupakan pola yang berulang, dan terlalu kemas untuk dianggap satu kebetulan.
“Syarikat-syarikat yang memenuhi semua syarat kewangan, teknikal, serta mempunyai rekod prestasi yang baik, tetapi diketepikan hanya kerana mereka enggan tunduk kepada ‘syarat tidak rasmi’ yang dikenakan kumpulan tertentu.
“Apabila keputusan tender sudah diketahui sebelum tender dibuka, itu bukan proses perolehan, sebaliknya itu penjualan pengaruh.
“Dan apabila pengaruh menjadi kuasa menentukan kontrak, tadbir urus negara mula runtuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lebih mengecewakan, tambah Sivaraj, ketika kerajaan begitu lantang bercakap tentang ketelusan dan integriti, kartel-kartel itu bergerak dengan begitu yakin seolah-olah mereka pemilik sebenar kontrak kerajaan.
Sedangkan, ujar beliau, sekiranya pihak swasta boleh menentukan siapa yang mendapat tender, maka kementerian akan hilang kuasa, kerajaan akan hilang wibawa dan rakyat akan hilang keyakinan.
“KDN yang menjadi pengawal selia industri kawalan keselamatan mesti bertindak tegas. Kelewatan hanya akan menguatkan lagi keyakinan kartel bahawa mereka tidak boleh disentuh,” katanya.
Dalam masa sama, beliau percaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan terhadap rangkaian yang mengawal kontrak bernilai jutaan ringgit setiap tahun itu.
Tegasnya, isu kontrak keselamatan bukan `permainan’, sebaliknya melibatkan sekolah, institusi awam dan keselamatan rakyat.
“Yang perlu dihentikan bukan orang kecil, tetapi keseluruhan rantaian.
“Jika kartel terus menentukan siapa menang tender, kita sedang membina sebuah negara di mana rasuah menjadi budaya, dan ini tidak boleh diterima. Tindakan mesti diambil sekarang, bukan nanti,” katanya. – MalaysiaGazette
















