KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila kenyataan Datuk Seri Ikmal Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mencetuskan kemarahan beberapa Ahli Parlimen DAP.
Ia bermula dengan serangkap pantun daripada Ikhmal yang menyindir kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu lalu.
“Hajiji jadi Ketua Menteri lagi, menang kerusi tak sampai 30, DAP Sabah kena bungkus sehingga menggigit jari, soalan saya nombor sepuluh,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tidak puas hati dengan soalan itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun mempersoalkan niat sebenar Ikhmal dengan nada marah.
“Tidak perlulah keluarkan kenyataan sebegitu, kalau nak berpantun, boleh berpantun,” bidas beliau.
Turut bingkas bangun adalah Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang mengutarakan perkara sama yang mana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga tidak menang pada PRN berkenaan dan hilang wang deposit di semua 33 kerusi.
“Bersatu tanding di 33 kerusi, semua kalah malah hilang deposit lagi,” celah Poay Tiong.
Melihat perkara itu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor dengan tenang memberikan amaran agar semua pihak bertenang dan meminta untuk sesi soalan lisan ketujuh diteruskan.
“Perasan atau tidak, saya akan biar Yang Berhormat bercakap kerana saya nak jatuhkan pertuduhan, ada keterangan. Bila dalam kekecohan saya akan biar Yang Berhormat bercakap, kalau kita lihat Yang Berhormat suka langgar, ini sebagai amaran pada yang lain,” kata Ramli.
Sesi soalan lisan bagi soalan ketujuh diteruskan dengan jawapan lisan daripada Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Adly Zahari.
PRN Sabah menyaksikan kejutan besar apabila DAP gagal mempertahankan sebarang kerusi, sekali gus terkeluar sepenuhnya daripada peta politik negeri itu buat pertama kali sejak tahun 2004.
Kerusi tersebut adalah kerusi DUN Luyang, Kapayan, Tanjung Papat, Tanjung Aru, Kemabong dan Elopura. – MalaysiaGazette
















