Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kolektif ke-14 antara Timbalan Malaysia Genting Malaysia Berhad, Lee Thiam Kit dengan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Genting Malaysia Berhad, Sikindar Ibrahim di Wisma Genting, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 01 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menegaskan komitmennya untuk sentiasa berpihak kepada pekerja sambil mengingatkan  kementeriannya merupakan benteng utama membela kebajikan golongan itu. 

“Saya telah bertekad sejak hari pertama memegang amanah ini bahawa saya akan berdiri di sisi pekerja.

“Kita ada banyak kementerian yang menjaga ekonomi dan industri tetapi hanya satu kementerian yang menjaga pekerja. Jika yang ini pun tidak bersama pekerja, ke mana lagi mereka harus mengadu?” soalnya. 

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani 14th Collective Agreement (CA) antara Genting Malaysia Berhad (GENM) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja GENM di Wisma Genting di sini hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong beramah mesra bersama ahli-ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja Genting Malaysia Berhad pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kolektif ke-14 Antara Genting Malaysia Berhad dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja Genting Malaysia Berhad di Wisma Genting, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 01 DISEMBER 2025

Steven  juga menegaskan kejayaan syarikat tidak boleh dipisahkan daripada sumbangan pekerja sambil merujuk prestasi Genting yang merekodkan pendapatan lebih RM3.3 bilion bagi suku ketiga tahun ini.

Pada majlis sama, GENM memuktamadkan CA ke-14 bersama kesatuannya yang menyaksikan gaji minimum dinaikkan kepada RM1,800 iaitu lebih tinggi daripada kadar statutori RM1,700.

Beliau mendedahkan, CA tersebut turut memperuntukkan pelarasan gaji 10 peratus bayaran khas bagi pelarasan Ogos–Oktober 2025 serta penyemakan elaun, manfaat perubatan, faedah kematian dan kenaikan tahunan.

Katanya, CA baharu yang berkuat kuasa dari 1 Ogos 2025 hingga 31 Julai 2028 ini melibatkan hampir 10,000 pekerja dan disempurnakan dalam masa hanya tiga bulan rundingan.

“Ini win-win. Rundingan pantas dan keputusan yang adil seperti ini menunjukkan kematangan hubungan perusahaan. Ia memberi manfaat langsung kepada pekerja dan mengukuhkan kestabilan syarikat,” ujar beliau.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menerima cenderamata daripada Timbalan Presiden Genting Malaysia Berhad, Lee Thiam Kit pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kolektif ke-14 Antara Genting Malaysia Berhad dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja Genting Malaysia Berhad di Wisma Genting, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 01 DISEMBER 2025

Beliau turut menjelaskan dasar gaji progresif dan garis panduan gaji nasional akan terus diperkukuh bagi meningkatkan ketelusan dan memastikan pekerja menerima gaji permulaan yang wajar.

“Menteri datang dan pergi tetapi sesiapa yang duduk di kerusi ini mesti turun padang dan berdiri bersama pekerja. Ini soal perjuangan pekerja bukan soal individu,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast