KUALA LUMPUR – Perodua memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya yang dikenali sebagai QV-E pada harga RM80,000 tidak termasuk insurans dan bateri sebagai sebahagian daripada agenda nasional negara dalam membangunkan ekosistem EV yang mampan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, QV-E yang bermaksud Quest for Visionary – Electric menelan kos pembangunan sebanyak RM800 juta dan dikeluarkan di kemudahan pengilangan terbaharu
Perodua iaitu Smart Mobility Plant.
Menurut beliau, pada masa ini, pihaknya boleh mengeluarkan 500 unit kenderaan sebulan tetapi akan menawarkan 3,000 unit kenderaan sebulan menjelang suku ketiga tahun 2026.

“Kesemua ciri yang terdapat pada QV-E dicipta dengan mengambil kira fungsi terkini, aspek keselamatan yang lebih canggih serta keselesaan pengguna berdasarkan kajian terperinci yang dijalankan yang dijalankan oleh Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan kami.
“Maka terhasillah model QV-E ini yang menjadi bukti kerjasama rakyat Malaysia dalam mencipta sesuatu yang unik daripada reka bentuknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Perasmian EV pertama Perodua yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara MITI di sini hari ini.
Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 1 September 2023, Perodua dilantik sebagai juara dan peneraju pengeluar automotif tempatan untuk membangunkan ekosistem kepada 70 peratus menjelang 2030.
Zainal Abidin memberitahu, sehingga kini, sejumlah 52 syarikat tempatan menjadi pembekal komponen auto untuk QV-E dan syarikat kenderaan kompak itu merancang untuk meningkatkan jumlah berkenaan kepada 70 vendor dalam tempoh lima tahun.
Katanya, menerusi sokongan penuh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta disokong oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan berkaitan, Perodua berjaya mengeluarkan kenderaan elektriknya dalam tempoh 28 bulan.
“Sokongan yang diberikan oleh pihak kerajaan amat penting dalam merevolusikan ekosistem EV di negara ini yang turut mengambil kira aspek kualiti, ketahanan dan pembaharuan dalam teknologi digital,” katanya.
Zainal Abidin berkata, sasaran pembeli utama untuk QV-E adalah golongan pertengahan serta mereka yang mencari kereta kedua atau kereta gantian untuk kegunaan harian ataupun kegunaan santai pada hujung minggu.
Ujar beliau, Perodua turut memperkenalkan konsep pajakan bateri yang dikenali sebagai Battery as a Service yang mana ia dijual secara berasingan dengan kereta.
“Konsep ini menawarkan penyelesaian terhadap kebimbangan pemilik EV. Dengan adanya perkhidmatan ini, kami mampu menawarkan jaminan bateri sepanjang hayat kepada pelanggan kami demi ketenangan minda mereka,” katanya.
QV-E didatangkan dalam dua warna iaitu Ice Blue dan Caviar Grey dan hanya boleh didapati di cawangan Perodua terpilih sahaja.
“QV-E menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (52.5kW) dan mempunyai kapasiti julat sehingga 445 kilometer (NEDC), bergantung kepada cara pemanduan, suhu dan keadaan jalan.
“Model ini juga dilengkapi dengan ciri keselamatan terkini termasuklah sistem pengesanan dan amaran kanak-kanak (Child Presence Detection).
“Sistem ini akan mengingatkan pemandu sekiranya ada kanak-kanak ataupun binatang peliharaan yang tertinggal di dalam kereta kerana ia boleh mengesan pergerakan serta tanda vital (seperti bunyi nafas) di bahagian tempat duduk belakang.
“Sistem itu juga boleh mengesan pergerakan walaupun dilitupi oleh selimut atau fabrik lain,” katanya. – MalaysiaGazette
















