KUALA LUMPUR – Exco Puteri UMNO, Raja Sara Petra mempersoalkan pendirian parti itu yang disifatkannya berubah-ubah dalam konteks pembentukan kerajaan negeri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN-17).
Raja Sara berkata, gelagat UMNO sepanjang pilihan raya kali ini mengulangi corak lama yang pernah berlaku peringkat nasional.
Menurutnya, sebelum PRN, UMNO menyatakan dengan jelas parti itu tidak mahu bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Namun selepas keputusan rasmi diumumkan dan GRS membentuk kerajaan, pendirian tersebut berubah apabila UMNO menyatakan kesediaan untuk memberikan sokongan kepada ketua menteri yang baharu.
Beliau mengingatkan perkara sama pernah berlaku ketika UMNO menegaskan pendirian ‘No DAP’,’No Anwar’ dan ‘No PPBM’ tetapi akhirnya ketiga-tiga pihak itu berada dalam gabungan politik yang sama.
Raja Sara yang merupakan anak perempuan kepada blogger terkenal, Allayarham Raja Petra berkata, rakyat kini melihat pola yang sama berulang di Sabah tegas ‘tidak’ sebelum pilihan raya tetapi cepat bertukar ‘ya’ setelah kuasa ditentukan.
“Apabila perubahan pendirian berlaku terlalu kerap dan boleh dijangka, rakyat mula bertanya sama ada keputusan tersebut berasaskan prinsip atau kedudukan.
“Pengundi Sabah telah menunjukkan mereka tidak lagi menerima slogan sebaliknya menilai konsistensi. Apabila parti kerap menukar pendirian selepas pilihan raya, kepercayaan rakyat akan menjadi mangsa utama,” tulisnya di laman Facebook beliau hari ini. – MalaysiaGazette

Raja Sara turut menyatakan UMNO pernah diterima kerana memiliki kompas kepimpinan yang stabil, tetapi hari ini kompas itu kelihatan berubah mengikut siapa yang memegang majoriti.
“Ini bukan serangan tetapi sesuatu yang sudah lama dibualkan rakyat di bawah.
“UMNO perlu menentukan pendirian sebelum pilihan raya, bukan selepas keputusan diumumkan. Apabila terlalu kerap menukar “ya” dan “tidak”, rakyat akhirnya mungkin akan berkata “tidak” kepada parti ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette















