MELAKA – Punca jangkitan HIV di Melaka kini menunjukkan perubahan ketara apabila majoriti kes baharu dicatatkan berpunca daripada hubungan seksual termasuk hubungan sejenis.
Pengarah Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) Dr. Ruzita Mustaffa mendedahkan, trend itu berlaku apabila golongan penagih dadah kini tidak lagi bergantung kepada jarum suntikan sebaliknya beralih kepada dadah sintetik.
Menurutnya, peralihan itu menyebabkan risiko jangkitan melalui perkongsian jarum menurun sekali gus menjadikan hubungan seksual kini sebagai punca dominan.
“Banyak yang berlaku ketika ini adalah jangkitan melibatkan hubungan seksual sejenis dan ketara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, seiring pola yang berlaku di peringkat nasional.
“Kelompok yang paling terkesan melibatkan golongan dewasa berusia antara 25 hingga 60 tahun yang berada dalam kumpulan bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Plak Dan Sijil Pengiktirafan Sijil Bersih dan Selamat (BeSS) di Zus Coffee, Bukit Baru di sini hari ini.
Ia dirasmikan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.
Menurut Dr Ruzita, walaupun tiada peningkatan mendadak dicatatkan, pertukaran punca jangkitan itu adalah perkembangan yang perlu diberi perhatian.
“Kita dapati yang banyak berlaku jangkitan adalah disebabkan hubungan seksual sama ada gay ataupun lesbian seperti data di peringkat nasional,” tambahnya.
Bagaimanapun, Dr Ruzita menegaskan, masyarakat tidak boleh ‘pukul rata’ setiap pesakit HIV adalah disebabkan tingkah laku berisiko hubungan terlarang.
“Ini kerana ada sebahagian mereka tidak bersalah dan tidak berdosa sebab itu kita tekankan usaha mengurangkan stigma ini. Pada masa sama kita perlu memastikan kesedaran masyarakat terus meningkat,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette
















