KUALA LUMPUR – Premis yang menjalankan aktiviti tidak bermoral, termasuk spa berunsur songsang, berpunca daripada penyalahgunaan lesen yang diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan lesen berdasarkan permohonan rasmi yang dikemukakan, namun terdapat premis yang dikesan menjalankan aktiviti lain selepas lesen diluluskan.
“Kalau dikatakan untuk lesen pembukaan spa, kita benarkan. Tetapi apa yang berlaku masalahnya ialah kadang-kadang kita beri lesen tetapi aktiviti yang dilakukan selepas itu adalah di luar kawalan kita.
“Itu yang kadang-kadang kita jumpa aktiviti-aktiviti yang selain daripada apa yang telah mereka mohon dalam lesen tersebut,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN–Tampin) pada persidengan Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Isam ingin tahu sejauh mana peranan PBT dalam memastikan premis berlesen tidak disalah guna sehingga menjadi pusat aktiviti tidak bermoral.
Menurut Zaliha, terdapat premis yang menyimpang daripada aktiviti asal yang dibenarkan, sekali gus mencetuskan masalah sosial yang membimbangkan.
Justeru, DBKL diminta mempertingkatkan pemantauan termasuk melalui pemeriksaan berkala dan tindakan mengikut aduan awam.
“Pertama, kita akan adakan pemantauan secara berkala. Kedua, jika ada aduan, maka kita akan buat penguatkuasaan dan di situ biasanya kita jumpa perkara-perkara yang kita sebut tadi,” katanya.
Menurutnya, DBKL turut menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dikenali sebagai KL Strike Force bagi mempercepatkan tindakan terhadap premis yang dipercayai melakukan pelanggaran lesen atau aktiviti tidak bermoral.
“DBKL juga bertindak mengikut aduan dan jika ada aduan, maka KL Strike Force akan diaktifkan untuk segera mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya,” ujarnya.
“Pasukan khas itu melibatkan kerjasama agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), bergantung kepada kesalahan yang dikenal pasti.
“Ia bergantung kepada tindakan yang nanti bergantung kepada manakah agensi yang akan bertanggungjawab,” tambahnya.
Tambah beliau, pendekatan bersepadu ini penting bagi memastikan tindakan segera dapat diambil terhadap premis yang berpotensi menjadi pusat kegiatan tidak bermoral.
Sebelum ini, sebuah pusat spa dan kesihatan dipercayai menjadi lokasi golongan lelaki songsang berkumpul dibongkar dalam serbuan di sebuah premis di Chow Kit, Jumaat lalu.
Operasi bermula jam 8 malam itu dijalankan oleh Bahagian D7 IPK Kuala Lumpur bersama DBKL dan JAWI hasil risikan selama dua minggu, yang membawa kepada penahanan 201 individu, termasuk 17 penjawat awam, kerana disyaki terbabit dalam kegiatan songsang. – MalaysiaGazette
















