KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 [Akta 800] diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini bertujuan memperkukuh keselamatan sosial pekerja melalui penambahbaikan faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) serta meningkatkan keberkesanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam menyokong penempatan pekerjaan semula.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad semasa membentangkan Bacaan Kedua dan Ketiga RUU tersebut menjelaskan, reformasi terhadap Akta 800 memberi tumpuan kepada penyediaan bantuan pendapatan yang lebih mampan, peluang latihan yang lebih baik dan program penempatan pekerjaan semula yang lebih berkesan bagi pencarum yang kehilangan pekerjaan.
Langkah ini juga menyokong kelancaran mobiliti tenaga kerja selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa.
Antara penambahbaikan utama SIP yang dibentangkan ialah Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) dinaikkan daripada 25% kepada 50% baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Latihan (EL) meningkat kepada RM30 sehari dan Fi Latihan dinaikkan sehingga RM7,000.
Selain itu, Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) — bayaran sekali RM1,000 bagi pencarum yang menerima pekerjaan baharu lebih 100 km dari kediaman.
Menurutnya, jumlah sokongan keseluruhan SIP kini boleh mencecah sehingga RM25,000 bagi seorang pencarum.
Selain itu, pengukuhan operasi Perkeso termasuk pemadanan kerja, nasihat kerjaya, latihan semula dan penggunaan data pasaran buruh secara menyeluruh.
Jelasnya, pindaan kepada SIP ini melengkapi agenda perlindungan pekerja termasuk Skim Lindung 24/7 yang turut diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini, bagi memastikan pekerja yang kehilangan pekerjaan menerima bantuan pendapatan, latihan dan peluang pekerjaan baharu dengan lebih cepat dan tersusun.
Reformasi ini menggambarkan visi Kerajaan Madani untuk membina ekosistem pekerjaan yang lebih selamat, progresif, mampan dan berdaya tahan, dengan memastikankesejahteraan rakyat bekerja terus terjamin dalam menghadapi perubahan ekonomi dan teknologi, tambah beliau. – MalaysiaGazette
















