KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkongsi kenyataan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bolasepak Profesional (FIFPRO) yang mengecam penggantungan tujuh pemain negara yang diputuskan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Dalam kenyataan FIFPRO itu, hukuman penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak adalah sangat tidak sepadan memandangkan keadaan sebenar kes ini.
FIFPRO berpendapat, pemain berkenaan hanyalah mangsa keadaan atas kesilapan pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menguruskan dokumentasi itu.
“Jelas bahawa para pemain ini sebenarnya adalah mangsa dalam hal ini. Keputusan tersebut sendiri mengesahkan bahawa mereka tidak memalsukan sebarang dokumen untuk mendapatkan kelayakan, malah mengakui dengan jelas bahawa dokumen yang mereka serahkan adalah tulen.
“Apabila tidak kurang daripada tujuh pemain berada dalam situasi yang sama, jelas bahawa sebarang dokumen palsu (jika ada) bukanlah hasil tindakan individu pemain.
“Oleh itu amat membimbangkan apabila mereka dipertanggungjawabkan atas dokumen yang dihantar oleh persatuan bola sepak negara kepada FIFA, serta kewajipan yang kelihatan seperti memerlukan mereka mengesahkan dokumen yang bukan mereka keluarkan atau serahkan,” kata FIFPRO.
Organisasi yang melindungi kebajikan pemain profesional di seluruh dunia itu menambah, ketujuh tonggak berkenaan sudah mengikuti proses yang sah dalam usaha mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.
“Tujuh pemain dalam kes ini telah mengikut proses yang ditetapkan: mereka menyerahkan dokumen peribadi, hadir di hadapan pihak berkuasa Malaysia, menjalani prosedur angkat sumpah, menerima pasport yang dikeluarkan kerajaan, dan menunggu kelulusan kelayakan daripada FAM.
“Semua langkah ini dikendalikan oleh institusi luar kawalan mereka, namun kini mereka berdepan penggantungan daripada kelab dan akibat serius yang bakal menyusul, semuanya bukan salah mereka.
“FIFPRO menyatakan sokongan penuh kepada para pemain ini dan percaya bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan akan membatalkan ketidakadilan ini,” katanya.
Pada 18 November lalu, FIFA menerbitkan dokumen alasan penuh berhubung keputusan Jawatankuasa Rayuan terhadap kes pemain warisan Malaysia, yang mendedahkan pegawai pentadbiran FAM dikenal pasti sebagai pihak yang mengubah dan memalsukan dokumen kelahiran tujuh pemain terbabit.
FIFA mendedahkan, FAM mengakui bahawa salinan sijil kelahiran yang dihantar ke FIFA adalah dokumen yang dipalsukan termasuk perubahan pada lokasi kelahiran datuk dan nenek pemain untuk mewujudkan hubungan keturunan dengan Malaysia.
Tujuh pemain berkenaan adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazwbal dan Hector Hevel, di mana kesemua mereka digantung serta di denda CHF2,000 (RM10,000). FAM pula diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta). – MalaysiaGazette
















