MELAKA – Seorang duda dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkhalwat di rumah kekasihnya pada 11 September lalu dan tengah malam tadi.
Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin menjatuhkan hukuman itu terhadap, Ibrahim Bacha, 49, selepas meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pihak pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang merupakan India Muslim dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Tertuduh gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori didapati berkurung yang mendatangkan syak dengan seorang wanita bukan Islam beragama Hindu berusia 49 tahun yang bukan isteri atau mahramnya di sisi syarak.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Blok D, Projek Perumahan Rakyat, Krubong di sini pukul 12.05 tengah malam pada 11 September lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didapati mengulangi kesalahan terhadap mangsa dan tempat sama pukul 12.15 tengah malam tadi.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 53 (1) Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum 24 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah memohon hukuman penjara dikenakan kerana kesalahan besar menghampiri zina dan berulang kali dilakukan tertuduh.
Hujahnya lagi, tertuduh juga sebenarnya mempunyai dua lagi rekod dakwaan kesalahan sama dan denda sahaja tidak mencukupi terhadap kesalahan serius dilakukannya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu tidak dikenakan penjara dengan alasan terpaksa menumpang di rumah kekasihnya itu kerana tidak mampu mencari rumah sewa dengan pendapatan sebagai pemandu lori yang tidak tetap.
Selain itu, tertuduh juga memberitahu dia merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya itu namun sedang menunggunya untuk memeluk Islam.
Mohd Yunus bagaimanapun menegur tertuduh dan berkata, ia bukanlah alasan untuk tinggal serumah dan melakukan kesalahan berulang seolah-olah mahu mencabar undang-undang selain kesal dengan pengakuan tertuduh yang tidak solat lima waktu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama manakala penjara enam bulan dan denda RM3,000 atau tambahan enam bulan jika gagal bayar bagi pertuduhan kedua.- MalaysiaGazette
















