Oleh: Dr. Ahamad Jama’ Amin Yang
PILIHAN raya Negeri (PRN) Sabah 2025 sekali lagi memperlihatkan bahawa politik negeri itu tidak boleh diamati hanya melalui angka kerusi, peta kemenangan atau slogan perpaduan nasional yang dilaungkan sepanjang kempen. Di sebalik keputusan rasmi yang diumumkan, wujud satu lapisan makna yang jauh lebih dalam, iaitu memori politik kolektif yang hidup dalam pengalaman sejarah dan kesedaran rakyat Sabah.
Inilah unsur tersembunyi yang mengarah cara pengundi menilai parti, mengingati janji yang pernah diucap serta memutuskan kepada siapa mandat negeri akan diserahkan. Tanpa kefahaman terhadap dimensi memori ini, apa jua analisis mengenai PRN Sabah hanya menyentuh permukaan dan gagal menangkap logik sebenar yang menggerakkan tingkah laku politik rakyat di negeri itu.
Dalam kerangka ilmu sosial, memori kolektif merujuk kepada himpunan pengalaman, naratif dan peristiwa sejarah yang dikongsi, diulang dan ditafsir oleh sesuatu komuniti sehingga menjadi sebahagian daripada identiti mereka pada masa kini. Dalam medan politik, memori ini berperanan sebagai neraca untuk menilai parti, pemimpin dan institusi. Ia bukan sekadar cerita lama yang diingati secara sentimental, sebaliknya menjadi rujukan aktif ketika rakyat menimbang janji baharu, menilai watak calon serta membezakan antara perubahan sebenar dengan pertukaran kosmetik kuasa.
Di Sabah, memori politik kolektif terikat rapat dengan sejarah kemasukan negeri itu ke dalam Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963, janji autonomi serta kedudukan khas yang dirasakan tidak dipenuhi secara tuntas dan pengalaman panjang hubungan kuasa yang berat sebelah memihak kepada pusat.
Ingatan sejarah ini seterusnya bertindan dengan pengalaman ketidakseimbangan pembangunan, pembahagian hasil yang dianggap tidak adil, pengurusan sumber asli yang tidak memihak kepada negeri, serta campur tangan politik luar yang kerap dilihat sebagai manifestasi hubungan pusat–periferi yang mengabaikan sensitiviti dan aspirasi tempatan. Rasa terpinggir yang diwarisi antara generasi akhirnya membentuk satu memori politik kolektif yang tidak mudah dipadam hanya melalui retorik perpaduan atau tawaran projek fizikal bersifat jangka pendek.
Memori inilah yang kembali bergema setiap kali rakyat Sabah dipanggil ke peti undi dan ia mengisi ruang pertimbangan mereka jauh sebelum bahan kempen diedar dan poster dipasang. Memori politik kolektif di Sabah berfungsi sebagai bingkai asas untuk menilai tawaran politik semasa. Apabila pengundi melangkah masuk ke pusat mengundi dalam PRN, mereka tidak datang sebagai subjek yang kosong. Mereka hadir dengan ingatan siapa yang pernah memerintah, parti mana yang dilihat mengangkat suara negeri dan siapa yang dianggap sekadar membawa suara pusat.
Keputusan undi yang banyak memihak kepada parti dan gabungan berasaskan negeri menggambarkan bagaimana memori kolektif diangkat sebagai prinsip pemilihan dan bukannya letusan emosi singkat. Slogan seperti Sabah First dan Sabah for Sabahans menjadi simpulan bagi seluruh lapisan memori itu. Di dalamnya terkandung persoalan tentang cara Sabah dibawa masuk ke dalam kerangka Malaysia, janji berkaitan hak negeri yang tertangguh serta model pembangunan yang dirasai tidak seimbang antara wilayah.
Sambutan terhadap slogan ini bukan sekadar kesukaan kepada kata yang sedap didengar. Ia lahir kerana slogan itu menyentuh titik luka sejarah dan pengalaman harian rakyat Sabah, daripada jurang infrastruktur di pedalaman sampai perasaan seolah-olah dianak tirikan dalam pengagihan hasil.
Apabila parti tempatan menjadikan isu Perjanjian Malaysia 1963, tuntutan pembahagian hasil negeri, autonomi pentadbiran dan pembaharuan hubungan kuasa dengan pusat sebagai teras kempen, pengundi segera mengaitkannya dengan memori kolektif yang telah lama berakar dalam kesedaran mereka. Di sinilah terjalin hubungan langsung antara memori politik kolektif dengan corak kerjasama, penolakan atau penerimaan pengundi terhadap parti tertentu.
Perbezaan antara parti tempatan dengan parti nasional menjadi sangat ketara apabila dilihat menerusi lensa memori ini. Gabungan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti seperti Warisan menampilkan diri sebagai penjaga maruah negeri yang mendakwa lebih memahami luka sejarah serta keperluan semasa rakyat di semua daerah. Mereka hadir dengan naratif bahawa hanya aktor politik yang berakar di Sabah benar-benar mengerti susur galur rasa terpinggir dan cita-cita rakyat yang mahukan kedudukan lebih seimbang dalam Persekutuan.
Sebaliknya parti nasional seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) membawa bersama bagasi sejarah yang sukar dipisahkan daripada persepsi dominasi pusat. BN diingati sebagai lambang pemerintahan panjang yang
menstrukturkan ketidakseimbangan pembangunan serta melengah-lengahkan tuntutan hak negeri.
PH walaupun mengangkat nama reformasi masih belum meyakinkan pengundi bahawa ia bersedia mengubah kerangka federalisme yang dianggap berat sebelah. Manakala PN pula sering dilihat sukar menyesuaikan naratif politik Semenanjung dengan realiti sosial politik Sabah yang sangat majmuk.
Dalam kalangan pengundi, penilaian terhadap parti dan calon beroperasi sekurang-kurangnya melalui tiga cara yang saling berkait. Pertama, penilaian identiti, iaitu sejauh mana parti atau calon dilihat benar-benar milik Sabah dari segi asal usul, keutamaan dan kesetiaan perjuangan.
Kedua, penilaian rekod, yang meneliti apa yang telah dilaksanakan ketika parti itu memegang kuasa dan sejauh mana perubahan dapat dirasai di peringkat akar umbi. Ketiga, penilaian masa depan, yang mempertimbangkan sama ada parti atau calon tertentu diyakini mampu memecahkan kitaran ketidakseimbangan lama dan tidak sekadar mengulangi sandiwara yang sama dengan wajah baharu.
Ketiga-tiga dimensi ini digunakan serentak dengan memori politik kolektif sebagai rujukan utama. Manifesto yang kelihatan menyeluruh di atas kertas akan segera ditapis dengan soalan yang terbina daripada memori ini, antaranya mengenai janji yang pernah diucap, projek yang pernah gagal serta sikap kerajaan pusat terhadap Sabah ketika parti tersebut menguasai Putrajaya.
Calon parti tempatan memasuki gelanggang dengan kelebihan simbolik yang kuat kerana mereka dianggap lebih dekat dengan kehidupan seharian rakyat, lebih akrab dengan jaringan sosial di peringkat daerah dan lebih berupaya berunding dengan pusat atas nama Sabah, bukan semata-mata sebagai wakil parti nasional. Dalam kalangan pengundi muda pula, memori politik kolektif hadir dalam bentuk yang lebih halus tetapi tidak kurang tajam.
Generasi ini mungkin tidak melalui sendiri episod awal pembentukan Malaysia, namun mereka membesar dengan cerita mengenai janji yang tidak ditunaikan, jurang pembangunan antara wilayah yang masih ketara serta isu hak negeri yang berlarutan. Pada masa yang sama, mereka berdepan tekanan hidup kontemporari seperti kos sara hidup yang meningkat, kesukaran mendapatkan pekerjaan berkualiti dan akses pendidikan tinggi yang tidak seimbang.
Pertemuan cerita sejarah dengan realiti semasa ini membentuk kesedaran politik baharu yang lebih kritis. Dalam konteks ini, sokongan generasi muda terhadap parti tempatan bukan semata-mata tindakan emosional yang digerakkan oleh sentimen kenegerian sempit. Ia lahir daripada pertimbangan rasional bahawa hanya aktor politik yang tidak bergantung sepenuhnya kepada restu pusat mempunyai insentif sebenar untuk menuntut perubahan struktur, sama ada dalam pengagihan hasil, bidang kuasa pentadbiran atau kedudukan Sabah dalam rangka Persekutuan.
Namun begitu, memori politik kolektif juga tidak boleh dirayakan tanpa batas. Ada bahaya apabila wacana mempertahankan hak negeri diserap ke dalam strategi sempit elit politik. Slogan Sabah First boleh dijadikan perisai untuk menutup kegagalan tadbir urus, sementara retorik menentang pusat pula berpotensi digunakan sebagai asap yang mengaburi mata rakyat daripada amalan politik naungan, sogokan dan penyalahgunaan kuasa di peringkat negeri.
Sekiranya parti yang menjunjung nama Sabah sebagai panji perjuangan masih mengamalkan budaya lompat parti, politik wang dan naungan sempit, maka mereka sebenarnya mengkhianati memori politik kolektif yang mereka dakwa sedang dipertahankan. Di sinilah kepekaan pengundi menjadi sangat penting.
Memori kolektif sepatutnya menjadi asas untuk menuntut tatakelola yang lebih telus, bukannya alasan untuk memaafkan kelemahan pemimpin tempatan hanya kerana mereka menggunakan slogan yang dekat di hati rakyat. Hubungan antara memori politik kolektif dan pilihan pengundi perlu sentiasa disertai kewaspadaan agar memori itu tidak bertukar menjadi alat manipulasi baharu yang hanya mengekalkan struktur lama dengan wajah yang kelihatan lebih tempatan.
Dari sudut hubungan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan, PRN 2025 menghantar isyarat yang jauh lebih jelas berbanding pilihan raya terdahulu. Rakyat Sabah menggunakan undi bagi mengatur semula kuasa di peringkat negeri dengan cara yang menunjukkan penolakan terhadap dominasi parti nasional yang dilihat tidak cukup sensitif terhadap sejarah dan hak negeri.
Sabah mahu dilihat sebagai rakan setara yang mempunyai sejarah, identiti dan hak perundangan tersendiri, bukan wilayah pinggiran yang sekadar menunggu projek pembangunan yang diumumkan secara berkala. Selagi pusat terus melihat Sabah sebagai medan penambahan kerusi semata-mata dan bukan entiti yang perlu dirunding secara jujur serta bermaruah, selagi itulah memori politik kolektif akan kekal sebagai benteng penentangan terhadap parti yang datang dengan agenda yang dibaca sebagai agenda luar.
Dalam pengertian tersebut, PRN Sabah 2025 tidak boleh diringkaskan sebagai satu lagi episod rutin dalam jadual pilihan raya negara. Ia ialah medan di mana memori politik kolektif rakyat Sabah diuji, diperbaharui dan diterjemah ke dalam tindakan konkrit melalui kertas undi.
Selagi persoalan yang menjadi inti memori itu belum ditangani secara berani, khususnya keadilan dalam kerangka Persekutuan, pelaksanaan menyeluruh Perjanjian Malaysia 1963, pembahagian hasil yang lebih saksama dan pengiktirafan bersungguh-sungguh terhadap keunikan Sabah, pola pemilihan yang cenderung memihak kepada parti berasaskan negeri dijangka terus berulang.
Bagi mana-mana parti yang benar-benar serius mahu membina tapak di Sabah, tugas utama mereka bukan sekadar memenangi kerusi, sebaliknya sanggup berdepan dengan memori politik kolektif yang sekian lama dipandang remeh dan membuktikan melalui tindakan bahawa sejarah bukan takdir yang mesti diulang, tetapi warisan yang boleh diperbetulkan demi masa depan Sabah dalam Malaysia.
Penulis adalah Pensyarah Jabatan Sejarah, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah merangkap Felo Bersekutu Royal Historical Society, United Kingdom.















