KUANTAN – Seorang lelaki berusia 49 tahun dipercayai terlibat dalam kes cubaan curi lembu di Nenasi, Pekan baru-baru ini berjaya diberkas polis di sebuah rumah di bandar Kuantan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, dalam tangkapan 1.30 petang itu, pihaknya turut dirampas sebuah kereta jenis Inocom Matrix berwarna kuning air (beige) yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati, suspek mengaku terlibat dalam dua kes cubaan mencuri lembu di kawasan Nenasi, Pekan dan berperanan sebagai pemandu kenderaan yang digunakan.
“Suspek juga mendedahkan telah melakukan jenayah bersama tiga rakan yang kini masih bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Zaidi, pihaknya masih dalam usaha mengesan kesemua suspek terlibat yang masih bebas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan mencuri.
Sementara itu, suspek yang berjaya ditangkap itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil dan Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















