JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri meningkatkan kesiapsiagaan melalui penyelarasan rapat bersama-sama agensi keselamatan memantau kawasan rendah dan tebing sungai yang berisiko banjir.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta penduduk di enam daerah di negeri ini bersedia susulan amaran hujan berterusan iaitu tahap waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pada hujung minggu ini.

“Hujan berterusan dijangka melanda daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru dari 7 hingga 8 Disember ini.

“Angin kencang serta laut bergelora turut diramal berlaku di beberapa kawasan negara termasuk perairan Johor.

“Angin kencang kategori pertama melibatkan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Tioman dan kawasan sekitarnya dengan ketinggian ombak antara 2.5 hingga 3.5 meter,” tulisnya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.

Onn Hafiz berkata, persiapan aset di lokasi strategik turut diperkukuh bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku peningkatan paras air atau keadaan laut berbahaya.

“Saya menasihatkan seluruh Bangsa Johor supaya terus berwaspada dengan keadaan cuaca dan laut, mengelakkan aktiviti rekreasi di kawasan pantai dan perairan serta merujuk makluman rasmi.

“Sekiranya diminta berpindah oleh pihak berkuasa, utamakan keselamatan keluarga dan bertindak segera,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast