JOHOR BAHRU – Bagaikan dalam filem bersiri antarabangsa, satu rompakan terancang dilakukan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di Taman Ria Mas, Skudai, di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, ini kerana suspek yang memecah masuk pusat tersebut seakan tahu semua kedudukan dalam pejabat berkenaan.
Beliau berkata, kejadian tersebut disedari awal pagi semalam semasa seorang pegawainya datang untuk buka pintu pejabat berkenaan.
“Perompak tahu mana CCTV (kamera litar tertutup), ambil fius eletrik. Pintu besi didapati telah diumpil, pintu kaca dipecahkan, manakala wayar sistem penggera telah dipotong.
“Perakam CCTV juga dipercayai telah dirosakkan sehingga rakaman tidak dapat diakses. Selain itu, komponen pada meter elektrik turut hilang.
“Peti besi di bawah kaunter juga telah diumpil, mengakibatkan kerugian kira-kira RM300.
“Punya banyak laptop atas meja.. baru dan cantik tapi tidak disentuh. Yang diambil adalah duit RM300,” tulisnya dalam Facebook miliknya hari ini.
Marina menyifatkan kejadian itu bukan sekadar kes kecurian, tetapi satu pengkhianatan terhadap kepentingan awam dan usaha kerajaan untuk memajukan masyarakat.
“Harapnya pelaku dapat ditangkap segera,” katanya lagi.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya akan melakukan semakan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Marina meninjau keadaan di Pusat Nadi, Taman Ria Mas, Skudai, Johor Bahru hari ini. – Foto Facebook Marina Ibrahim
















