Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan sebarang kerjasama antara sekolah KPM dengan pihak luar mesti mendapat kelulusan rasmi kementerian itu.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, mana-mana perjanjian yang dilaporkan adalah bukan perjanjian rasmi dengan KPM.

“Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil maklum perkara yang dibangkitkan Ahli Yang Berhormat Hulu Terengganu. Untuk makluman, perjanjian yang dinyatakan bukan perjanjian rasmi dengan KPM.

“Kementerian Pendidikan menegaskan bahawa sebarang kerjasama antara sekolah KPM dengan pihak luar mesti mendapat kelulusan rasmi KPM,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan langkah lapan sekolah rendah dan menengah di Malaysia yang dilaporkan menandatangani perjanjian sekolah angkat dengan beberapa sekolah di China dan apakah kelebihan yang boleh memanfaatkan mereka.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak lapan buah sekolah rendah dan menengah di Malaysia telah menandatangani perjanjian sekolah angkat dengan beberapa sekolah di Hangzhou, China, menandakan fasa baharu pertukaran dan kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara.

Sekolah Malaysia yang terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ching Chong, Bedong, Kedah; SJKC Chui Chak, Perak; SJKC Nan Kwang, Alor Setar, Kedah; SJKC Choong Hua 2, Perak; SJKC Kerayong, Bera, Pahang; SJKC Yik Hwa, Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan, Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) Sin Min, Kedah dan SMPC Chong Hwa Kuantan, Bunut Rendang, Pahang.

Menurut laporan Oriental Daily yang disiarkan 16 September llau perjanjian tersebut berlangsung sempena lawatan pendidikan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Cina Malaysia dengan sokongan Program Ivy dan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia.

Delegasi Malaysia diketuai oleh pengerusinya, Datuk Mah Hang Soon, yang turut membuat kunjungan hormat ke Biro Pendidikan Hangzhou, disambut oleh Timbalan Pengarahnya, Sun Qingfeng. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast