KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Majlis Sentuhan MADANI Bersama Rakyat Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) esok.
Selain mengambil peluang untuk bertemu dengan rakyat Sabah, Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan barisan Menteri Kabinet Sabah yang baharu.
Terdahulu, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Pejabat Perdana Menteri (PMO) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Hajiji atas pembentukan Kabinet Perpaduan Sabah yang baharu.

Menurut beliau, terbentuknya barisan kepimpinan Sabah itu mencerminkan kematangan politik, kesepaduan serta komitmen untuk meneruskan agenda pembangunan Sabah bagi penggal lima tahun akan datang.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan amat penting dalam menangani pelbagai isu strategik termasuk pembangunan infrastruktur, penyampaian perkhidmatan, kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhan.
“Kesepaduan dan kejituan Kabinet baharu itu diyakini akan memperkukuh lagi hubungan antara kedua-dua peringkat kerajaan dalam memastikan aspirasi rakyat Sabah dapat dicapai dengan lebih berkesan,” katanya ketika menyampaikan Taklimat PMO secara online, hari ini.
Menurut Tunku Nashrul, Kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama rapat bersama kepimpinan Sabah dalam semangat MADANI bagi memastikan pembangunan Sabah dapat dilaksana secara menyeluruh, inklusif dan mampan.
Awal pagi Ahad lalu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah bagi penggal kedua.
Beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.
GRS berjaya memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah membentuk kerajaan negeri menerusi majoriti mudah bersama rakan parti dan calon Bebas yang menang. – MalaysiaGazette
















