Norsidah menunjukkan keadaan air yang naik di rumahnya di Kampung Sungai Berong Laut, Batu Pahat akibat banjir kilat hari ini.

BATU PAHAT – “Belum habis penat mencuci rumah akibat banjir air pasang minggu lalu, kejadian serupa berlaku lagi kali ini dengan paras air agak tinggi kira-kira 0.5 meter.

“Kenaikan air berlaku secara mendadak apabila hujan bermula sejak tengah hari semalam sebelum rumah dinaiki air sekitar pukul 5 petang”.

Demikian luahan seorang penduduk Kampung Sungai Berong Laut di sini yang terpaksa kembali semula ke pusat transit sementara (PTS) selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat dan benteng penahan ombak pecah dalam kejadian semalam.

Menurut Norsidah Abu, 52, ketika ditemui di rumahnya, penduduk berdepan dua punca banjir kilat iaitu air pasang besar dan benteng penahan ombak yang sudah pecah sejak lapan bulan lalu.

Keadaan itu membuatkan mereka dalam tempoh masa yang singkat berdepan banjir kilat iaitu pertama akibat air pasang minggu lalu dan kedua hujan lebat serta benteng penahan ombak pecah minggu ini.

Norsidah berkata, kali pertama lebih 25 penduduk dari sembilan keluarga berulang-alik selama empat hari ke PTS di sebuah surau sebelum ditutup pada Ahad lalu.

Namun, suri rumah itu tidak menyangka berlaku limpahan air yang naik mendadak pada petang semalam akibat hujan lebat dan benteng penahan ombak yang sudah pecah lalu air mengalir ke rumah-rumah.

Apa yang dikesalkan katanya, tidak sampai seminggu mereka meninggalkan PTS, kini kembali ke PTS sedangkan keletihan sebelum ini masih belum hilang.

Norsidah berkata, keluarganya membina tembok di hadapan pintu sebagai alternatif untuk menghalang air banjir daripada memasuki rumah bagi menghalang air masuk rumah setiap kali banjir kilat.

“Sejak benteng pecah lapan bulan lalu, keluarga kami terpaksa berpindah ke PTS setiap kali air pasang setinggi 2.5 meter ke atas.

“Setiap petang, kami bergerak sejauh satu kilometer ke PTS untuk bermalam, dan keesokan harinya pulang untuk membersihkan rumah daripada lumpur. Kalau air pasang kecil, kami tetap tinggal di rumah,” katanya.

Salehudin Ahmad, 56, menghabiskan empat hingga lima jam setiap hari membersihkan rumah selepas banjir surut.

“Kerja ini bukan mudah, apatah lagi setiap kali air pasang masuk, rumah terpaksa dibersihkan semula. Tanaman penduduk seperti pokok pisang turut musnah akibat air masin,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, keadaan banjir semakin teruk semalam menyebabkan PTS di Kampung Berong Laut dibuka semula.

“Hari ini keadaan bertambah teruk yang sebab boleh katakan banyak rumah dinaiki air termasuk Lorong Samsudin ini. Saya juga tidak boleh sampai ke kawasan benteng yang pecah itu tapi saya yakin benteng yang pecah itu semakin membesar,” ujarnya dalam kenyataan yang muat naik dalam Facebook miliknya.

Beliau turut meminta penduduk agar sentiasa memantau keadaan air dan mengikuti arahan pihak berkuasa untuk keselamatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast