KOTA TINGGI – Keasyikan pasangan duda dan janda berkhalwat dalam hotel di sini terbantut apabila diserbu Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) malam tadi.
JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, serbuan dilakukan penguat kuasa pukul 1O.30 malam dan pada awalnya pintu bilik hotel tidak dibuka semasa diketuk.
“Lima minit kemudian oleh seorang wanita yang berbaju tidur blouse paras separuh peha membuka pintu. Keadaan bilik gelap dan penguat kuasa mengeluarkan lampu suluh sebelum menyalakan lampu.
“Television dalam keadaan ditutup dan pemeriksaan dilakukan dalam tandas yang terkunci dari dalam tetapi senyap. Penguat kuasa mengetuk pintu tandas dan menjerit kuat tetapi tidak menyahut.
“Kemudian pintu itu dibuka oleh seorang lelaki berseluar jean dan baju singlet,” maklum kenyataan tersebut hari ini.
Menurut JAINJ, hasil soal siasat mendapati lelaki berumur 30-an berstatus duda manakala wanita berumur 40-an berstatus janda, mereka buka mahram.
“Bilik disewa atas nama wanita yang menyewa hotel atas urusan kerja dan lelaki itu datang ke bilik itu. Beg dan pakaian wanita ditemui tetapi tiada kepunyaan lelaki.
“Mereka adalah rakan sepejabat dari sebuah daerah lain yang mempunyai urusan kerja di Kota Tinggi. Mereka datang dengan dua kereta yang berasingan,” jelas JAINJ.
Pemeriksaan lanjut dalam bilik mendapati selimut atas katil berselerak selain kain tuala dan tisu sudah basah ditemui dalam bakul sampah.
“Apabila ditanya tujuan lelaki itu datang ke bilik itu, dia kata untuk menjaga keselamatan rakan sepejabatnya.”
Pasangan ini dibawa ke balai polis dan akan didakwa bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.- MalaysiaGazette
















