GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menurunkan sebanyak 37,508 kandungan yang berunsurkan buli atau gangguan di laman media sosial bagi tempoh antara 1 Januari 2024 hingga 30 November lalu.

Ia merupakan kejayaan sebanyak 76 peratus berbanding 49,321 permohonan yang dibuat sepanjang tempoh itu.

Sementara itu, bagi kandungan berunsurkan penipuan, sebanyak 147,100 berjaya diturunkan berbanding 154,253 yang dipohon melibatkan kejayaan 95 peratus bagi tempoh sama.

Bagi kandungan berunsurkan perjudian, MCMC berjaya menurunkan sebanyak 421,245 kandungan daripada 438,520 permohonan melibatkan kejayaan 96 peratus.

Sumber MCMC.

Sementara itu, bagi kandungan jelik melibatkan kanak-kanak pula, MCMC berjaya menurunkan sebanyak 899 daripada 957 permohonan yang dibuat kepada platform media sosial melibatkan kejayaan 94 peratus sepanjang tempoh sama.

Ia melibatkan tiga platform media sosial utama dengan Tumblr paling banyak diminta menurunkan kandungan jelik melibatkan kanak-kanak iaitu 818 permohonan dengan 814 berjaya diturunkan.

Platform media sosial lain termasuk TikTok dengan 26 kandungan berjaya diturunkan berbanding 41 permohonan, manakala Facebook menurunkan 19 kandungan daripada 27 permohonan yang dibuat.

Sumber MCMC

Secara puratanya, kadar maklum balas tiga penyedia platform media sosial itu untuk tindakan penurunan adalah kurang daripada 24 jam selepas permohonan dibuat oleh MCMC.

Sementara itu, melihat lebih khusus kepada statistik bagi kategori penipuan antara 1 Januari 2024 hingga 30 November 2025, permohonan bagi menurunkan kandungan melibatkan akaun palsu adalah berjumlah 61,411 (40 peratus).

Bagi kategori sewa akaun (mule) pula, permohonan yang dibuat adalah sebanyak 24,538 (16 peratus), manakala bagi pelaburan tidak dibenarkan pula sebanyak 13,599 (9 peratus).

Permohonan tertinggi untuk menurunkan kandungan bagi kategori penipuan itu mengikut platform media sosial adalah melibatkan Facebook (72 peratus); TikTok (26 peratus) dan WhatsApp (1 peratus).

Sumber MCMC

Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin berkata, meskipun peratusan kejayaan penurunan kandungan bagi setiap kategori jenayah siber tersebut boleh dianggap tinggi, namun ia tetap meninggalkan kesan mendalam terhadap pihak yang menjadi mangsa.

Beliau mengambil contoh bagaimana terdapat kes individu yang berdepan kemurungan sehingga membunuh diri hanya kerana menjadi mangsa buli atau gangguan siber.

Selain itu, katanya, dari sudut jenayah penipuan siber seperti pelaburan palsu pula, ada mangsa yang mengalami kerugian mencecah jutaan ringgit.

“Sebab itu kita lihat walaupun kadar pematuhan untuk menurunkan kandungan berunsurkan penipuan mencecah sehingga 95 peratus, namun kerugian akibat penipuan siber ini seperti direkodkan pihak polis mencecah sehingga berbilion-bilion ringgit.

“Malah, trend kerugian itu menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun disebabkan cara sindiket penipuan siber ini sentiasa berubah-ubah dan semakin kompleks,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

DATUK Zurkarnain Mohd Yasin.

Sehubungan itu, kata Zurkarnain, MCMC terus meningkatkan peranan agensi itu dalam memastikan alam maya menjadi tempat yang lebih selamat kepada pengguna siber.

Antaranya, menurut beliau, menerusi penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 yang menumpukan kepada kandungan berbahaya seperti penipuan, eksploitasi dan penyamaran.

Jelasnya, ONSA 2025 memperkenalkan kerangka kawal selia yang lebih proaktif dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada platform untuk mengurus kandungan berisiko tinggi.

Ia ujar beliau, termasuk bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, kandungan lucah, kandungan sumbang dan kandungan berkaitan kemudaratan diri. Secara ringkasnya, ONSA 2025 ini meletakkan kebertanggungjawaban penuh ke atas platform media sosial berkenaan kandungan online yang ditawarkan kepada pengguna.

“Sekiranya didapati kandungan itu menjurus kepada jenayah siber seperti buli; penipuan; perjudian; seksual khususnya melibatkan kanak-kanak, platform media sosial bakal berdepan tindakan termasuk kompaun sehinggalah kepada tindakan undang-undang di mahkamah,” katanya.

Pelaksanaan ONSA disokong pelbagai agensi termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bekerjasama dengan MCMC bagi memastikan ekosistem digital negara lebih kukuh dan mampu menangani ancaman penipuan.

ONSA yang diwartakan pada 22 Mei lalu dijangka berkuat kuasa pada 1 Januari depan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast