Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Jasa serta komitmen Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam arena politik khususnya terhadap rakyat Sabah dan negara, akan terus dihargai dan terpahat dalam ingatan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, sebagai seorang sahabat lama, beliau mengenang Allahyarham sebagai tokoh yang tegas, berpendirian dan lantang dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Pengerusi Barisan Nasional Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag, yang telah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.

“Saya mendoakan agar keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan menghadapi ujian ini, dan semoga roh Allahyarham diampunkan segala dosanya serta ditempatkan pada kedudukan yang istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah meninggal dunia kira-kira pukul 1.20 pagi tadi disebabkan kegagalan buah pinggang dan jangkitan paru-paru di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah.

Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Likas, selepas solat Jumaat hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast