KULAI – Seorang lelaki bergelut dengan Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sebelum berjaya diberkas semasa cuba melarikan diri selepas ditahan membeli nombor ekor di sebuah kedai di sini semalam.
JAINJ dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian di kedai judi nombor ekor tersebut berlaku pada pukul 11.30 pagi dengan tiga penguat kuasa menyamar untuk mengaburi mata pembeli yang beragama Islam.
“Penguat kuasa JAINJ masuk menyamar di kedai judi itu dan mendapati seorang lelaki sedang berurusan di kaunter. Dia berbual dan membeli nombor ekor.
“Seorang penguat kuasa beratur di belakang lelaki itu yang seolah-olah mahu membeli nombor ekor juga.
“Lelaki itu berpaling ke belakang dan penguat kuasa itu angkat tangan menunjukkan sifat peramah atau satu geng,” menurut kenyataan tersebut.
JAINJ memaklumkan, penguat kuasa melihat dengan jelas lelaki itu membayar untuk mendapatkan tiket nombor ekor.
“Apabila dia hendak keluar, penguat kuasa menahan lelaki itu dan berlaku pergelutan. Lelaki ini cuba lari tetapi dua lagi penguat kuasa turut membantu menahan lelaki itu,” jelas kenyataan itu.
Lelaki berkenaan akan didakwa di Mahkamah Syariah mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Akta 559 di bawah Seksyen 18 tentang iaitu berjudi atau berada dalam rumah judi yang boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
“Turut dirampas di tangan lelaki ini adalah 10 keping tiket judi berharga RM1 setiap satu,” Tambah kenyataan itu.- MalaysiaGazette
















