KUALA LUMPUR – Orang ramai dijemput menghadiri Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad ini, di Dataran Putrajaya.
Program itu merupakan kesinambungan tradisi pelaporan tahunan Kerajaan MADANI kepada rakyat, susulan penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI (2023) dan Program Dua Tahun Bersama Kerajaan MADANI (2024).
Selain menjadi medan titik temu antara kerajaan dan rakyat, program itu turut menjadi wadah penting dalam menampilkan pencapaian, kemajuan dasar serta hasil reformasi Kerajaan MADANI secara telus dan mudah difahami oleh rakyat keseluruhannya.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, program itu menghimpunkan pelbagai inisiatif merentasi lapan segmen utama di bawah satu bumbung, daripada Produk Rakyat MADANI hingga Belia MADANI; reformasi perkhidmatan awam; kesejahteraan rakyat; hubungan antarabangsa serta pengisian menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ujarnya, ia bagi memperlihatkan ekosistem dasar kerajaan secara holistik dan mudah diakses.
“Dalam tempoh tiga hari ini, rakyat berpeluang menikmati perkhidmatan langsung kementerian dan agensi kerajaan; menyertai aktiviti kekeluargaan; karnival kerjaya; perkhidmatan pemeriksaan kesihatan; Jualan Rahmah; pameran keselamatan; program STEM-AI; TVET; aktiviti sukan; pengangkutan; pelancongan dan pelbagai tarikan lain termasuk pertukaran helmet motosikal.
“Semuanya dirangka agar manfaatnya sampai terus kepada rakyat kebanyakan.
“Selain manfaat langsung ini, program ini turut membuka ruang kepada rakyat untuk bertemu pemimpin negara,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Pejabat Perdana Menteri secara online hari ini.
Tambah Tunku Nashrul, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir ke program itu pada Ahad ini, bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan serta berinteraksi secara langsung bersama rakyat.
Ujarnya, kehadiran Perdana Menteri, Jemaah Menteri serta pimpinan tertinggi kerajaan pada program itu memberikan peluang untuk mendengar suara rakyat secara dekat, menilai keperluan semasa dan memperkukuh hubungan kepercayaan yang menjadi asas Malaysia MADANI.
“Sehubungan itu, Pejabat Perdana Menteri amat mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat yang berkelapangan untuk hadir, memanfaatkan peluang yang tersedia dan menyertai pelbagai inisiatif sepanjang tiga hari ini,” katanya.
Tambah beliau, Rancakkan MADANI merupakan manifestasi tekad Kerajaan MADANI untuk terus berkhidmat dengan lebih cekap, lebih telus dan terus berada di landasan reformasi demi membina negara yang sejahtera, makmur dan berdaya saing.
Terdahulu, menurutnya, kepimpinan Kerajaan MADANI yang diterajui Anwar kini menjangkaui tahun ketiga pentadbiran.
Ujarnya, tiga tahun yang sarat dengan cabaran dan perubahan itu telah menzahirkan komitmen yang konsisten bahawa tekad Kerajaan MADANI tidak pernah berganjak, iaitu untuk memacu reformasi, memperkukuh tatakelola yang baik dan memastikan setiap dasar serta inisiatif benar-benar membawa manfaat terus kepada rakyat. – MalaysiaGazette
















