MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka buat pertama kalinya memperkenalkan insentif khas kepada pengamal media dengan bantuan secara one-off sebanyak RM500.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM75,000 bagi pemberian tunai itu pada Mac depan.
“Hari ini, Melaka tidak akan berdiri megah tanpa adanya pengamal media yang menjadi jambatan dalam menyampaikan
dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan kepada rakyat.
Maka, pada sidang dewan kali ini buat julung- julung kalinya kerajaan negeri mengangkat peranan media menerusi insentif khas secara one-off RM500 dengan implikasi kewangan RM75,000,” katanya.
Berita gembira itu disampaikan Ab Rauf Yusoh pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Amir Mamat berkata, sumbangan khas RM500 itu bukti jelas kerajaan negeri menilai tinggi peranan media dalam pembangunan masyarakat.
“Atas dasar itu, PENDIKA dengan penuh rasa penghargaan menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ketua Menteri atas keprihatinan dan kesungguhan beliau dalam memastikan kebajikan pengamal media terus diberi perhatian.
“Sesungguhnya, keprihatinan ini memberi semangat baharu kepada warga media untuk terus komited dalam menjalankan tugas dengan lebih berintegriti, profesional dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette
















