Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan apa yang disifatkan beliau plot twist berhubung kes surat sokongan melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ahli Parlimen Pandan berkenaan mendakwa, beliau menerima mesej daripada wakil salah sebuah syarikat yang disenaraikan dalam surat sokongan tersebut iaitu Kamal Engineering.

Katanya, wakil syarikat itu mendakwa tidak pernah terlibat dengan pra kelayakan atau projek yang dimaksudkan menerusi surat tersebut.

Sehubungan itu, pihak syarikat Kamal Engineering telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis mengenai salah guna nama syarikatnya  di dalam surat tersebut.

“Maka plot twistnya adalah begini: jika Kamal Engineering tidak terlibat pun dalam projek itu, bagaimana dan siapa yang pandai pandai guna nama syarikat hingga sampai ke Pejabat Perdana Menteri?

“Ia adalah satu kesalahan jenayah menyalahgunakan nama orang atau syarikat tanpa kebenaran mereka.

“Satu lagi kemungkinan ialah syarikat Kamal Engineering jadi kambing hitam yang namanya hanya diselitkan sebagai dummy di dalam surat sokongan itu tanpa pengetahuan mereka,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Tambah Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi, dengan pendahahan itu, beliau sudah menyampaikan maklumat daripada Kamal Engineering itu kepada orang ramai seperti dipohon syarikat tersebut bagi membantu menjelaskan keadaan bagi pihak mereka.

“Saya harap pihak polis ambil tindakan kepada mereka yang bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast