Timbunan Mata Wang kertas Ringgit Malaysia (RM) satu, sepuluh, dua puluh, lima puluh dan seratus ketika tinjauan lensa Malaysiagazette di bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto HARI ANGGARA, 7 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – 5 Dis – Ringgit memulakan urus niaga Jumaat dengan meneruskan momentum pengukuhan sekitar RM4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan keadaan fiskal lebih baik yang mendorong sentimen pelabur terhadap mata wang berkenaan.

Pada jam 8 pagi ini, ringgit meningkat kepada 4.1065/1155 berbanding 4.1115/1165, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit terus kekal berdaya tahan walaupun data AS menunjukkan tenaga kerja negara maju itu kekal stabil.

“Data tuntutan awal pengangguran di AS turun kepada 191,000 pada minggu lepas berbanding anggaran konsensus sebanyak 219,000 manakala pemberhentian pekerja juga berkurangan kepada 71,300 pada November daripada 153,000 pada bulan sebelumnya.

“Walaupun data itu mencecah paras terendah dalam tiga tahun, pasaran masih menjangkakan pihak Rizab Persekutuan AS akan menurunkan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.

Ringgit meningkat ke paras 4.1115/1165 berbanding dolar AS semalam daripada 4.1200/1235 pada hari sebelumnya dan merupakan paras tertinggi dalam tempoh empat tahun lima bulan, sekali gus mengatasi paras rekod pada 16 Jun 2021 apabila ditutup pada 4.1155.

Dalam pada itu, ringgit juga mengukuh berbanding mata wang utama lain pada sesi awal hari ini.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4711/4831 daripada 5.4868/4935 semalam, naik berbanding euro kepada 4.7816/7921 daripada 4.8014/8075 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.6470/6529 daripada 2.6555/6589.

Unit tempatan itu juga diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1674/1746 daripada 3.1747/1788, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 246.5/247.2 daripada 246.8/247.3, naik berbanding baht Thailand kepada 12.8116/8501 daripada 12.8304/8520 semalam dan pada 6.96/6.98 berbanding peso Filipina. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast