Foto: FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai kehilangan seorang sahabat sejati yang begitu dekat di hatinya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Bung Moktar seorang rakan seperjuangan yang sentiasa teguh berdiri di sisi dan seorang insan yang sentiasa setia menemani di setiap waktu senang dan susah.

“Luluh hati saya saat menerima khabar pemergian sahabat saya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang telah kembali ke rahmatullah pada awal pagi Jumaat yang penuh kemuliaan ini.

“Sukar untuk saya mencari kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini.

“Yang tinggal hanyalah doa, mengiringi segala kenangan dan kebaikan yang telah beliau tinggalkan buat kami di dunia ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, seluruh saf kepimpinan UMNO; BN dan seluruh rakyat khususnya di Sabah berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, dilimpahi keampunan, dan ditempatkan dalam kalangan hamba Allah SWT yang beriman serta beramal soleh.

“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

“Semoga kalian semua dikurniakan ketabahan, ketenangan dan kekuatan dalam melalui saat yang amat berat ini,” katanya.

Allahyarham Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Pengerusi BN Sabah meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah pada 1.46 pagi tadi dipercayai akibat masalah buah pinggang dan jangkitan paru-paru.

Jenazah Allahyarham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas, Kota Kinabalu selepas solat Jumaat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast