KUANTAN – Penduduk di Kampung Ulu Sungai, Raub sekali lagi terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kawasan itu dinaiki air kira-kira jam 4.30 pagi tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Raub, Kapten Pertahanan Awam (PA) Samasuddin Kambade berkata, ia kali ketiga banjir melanda kampung itu sejak pertama kali pada 24 November lepas.
“Banjir kali ini melibatkan 23 mangsa daripada enam keluarga dan mereka terpaksa dipindahkan ke PPS di Balai Raya Kampung Ulu Sungai yang kembali di buka jam 7.45 pagi tadi.
“Proses mengumpulkan maklumat penduduk terjejas masih dijalankan bagi mengenalpasti bilangan mangsa dan keluarga yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Samasuddin berkata, dianggarkan 10 buah rumah di kampung itu turut terjejas dalam kejadian banjir pagi ini.
Dalam pada itu, InfoBencanaJKM merekodkan dua buah PPS lagi masih diaktifkan di dua buah daerah di negeri ini termasuk iaitu di Maran dan Kuantan. – MalaysiaGazette
















