KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan yang melibatkan tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang hari ini.
Menurut kenyataan agensi itu, kawasan terlibat di Kelantan merangkumi Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, manakala di Pahang meliputi daerah Kuantan, Pekan dan Rompin.
MetMalaysia turut menjangkakan hujan berterusan sehingga esok di beberapa kawasan di Johor, termasuk Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Selain itu, hujan berterusan turut dijangka di beberapa bahagian di Sarawak melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah dan Bintulu,” menurut MetMalaysia pagi ini.
Agensi itu juga memaklumkan keadaan angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencecah 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga esok.
“Kenaikan paras air laut juga diramal berlaku dan berisiko menyebabkan limpahan air di kawasan pesisir. Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot kecil, aktiviti rekreasi laut serta sukan air,” katanya.
Orang ramai juga dinasihati supaya berwaspada terhadap potensi ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang boleh berlaku dalam tempoh amaran tersebut. – MalaysiaGazette
















