GEORGE TOWN – Penduduk Kampung Bagan Jermal di sini, menggesa pemaju dan kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah kesan Projek Water Body A yang mengakibatkan kerosakan rumah serta banjir berulang di kampung bersejarah itu.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung, Mohamad Yakop Mohamad Dali, 73, berkata, projek bermula Februari tahun lalu itu menyebabkan gegaran kuat akibat penanaman cerucuk penahan dan tambakan laut sekali gus menimbulkan retakan pada rumah penduduk serta premis sekitar.
Beliau menekankan, penduduk telah beberapa kali membuat aduan dan perjumpaan dengan pemaju, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus serta wakil Parlimen sejak Julai lalu, tetapi tiada tindakan konkrit diambil.

“Tambakan laut dan cerucuk penahan memperlahankan aliran air ke laut. Akibatnya, banjir semakin kerap serta air bertakung menyebabkan merosakkan lantai dan barang penduduk.
“Kami bukan minta duit atau apa-apa, yang kami mahu cuma pemaju dan pihak kerajaan negeri kaji masalah ini dan cari solusi untuk atasi kesan yang berlaku, termasuk membaiki rumah dan mendalamkan sungai,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, kira-kira 50 penduduk mengadakan bantahan aman bagi menuntut pemaju bertanggungjawab terhadap kesan banjir serta rumah, surau dan premis berhampiran yang retak akibat pembangunan di kawasan berkenaan.
Sementara itu, penduduk, Norsiah Mustafa, 69, berkata, kehidupan mereka kini terjejas teruk ekoran banjir yang semakin kerap sejak Projek Water Body A dilaksanakan.

Menurutnya, dahulu air sungai mengalir dengan lancar ke laut, tetapi selepas projek itu, paras tambak semakin tinggi manakala kawasan kampung menjadi rendah, menyebabkan sungai tidak cukup dalam untuk menyalurkan air sekali gus setiap kali hujan air mula bertakung di dalam rumah.
“Pembinaan projek itu kira-kira 30 meter dari kawasan perumahan, sekali gus menyebabkan banyak rumah kampung mula retak teruk.
“Meskipun air banjir paras buku lalu namun ia kerap belaku dan air bertakung sehingga tiga hari merosakkan lantai dan barang milik kami.
“Depa (pemaju) kata nak buat kajian solusi jangka pendek dan panjang tapi sehingga kini tiada apa-apa tindakan,” katanya.
Menurut Muhamad Arif Ramlan, 32, pula, rumah kampung mereka yang diperbuat daripada kayu semakin mendap dan terjejas teruk.
“Setengah tahun kami buat aduan, tapi tiada tindakan. Air mudah bertakung menyebabkan harta benda rosak.
“Kami buat bantahan bukan untuk merendahkan mana-mana pihak tapi kami mahu pemaju bertanggungjawab kerana aduan sudah lama dibuat tapi tiada tindakan,” katanya.

Bagi Ramlan Ishak, 61, dia risau apabila projek siap nanti, pemaju akan lepas tangan sepenuhnya dan penduduk terpaksa menanggung kesan pembangunan itu seumur hidup.
“Kampung kami sudah wujud lebih 100 tahun, tetapi pembangunan ini memberi kesan langsung kepada keselamatan dan kehidupan penduduk,” katanya. – MalaysiaGazette
















