Presiden PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan

KUALA LUMPUR – Parti Progresif Penduduk (PPP) menyokong  penuh terhadap keputusan kerajaan yang melarang individu berusia bawah 16 tahun daripada mengakses platform media sosial bermula tahun hadapan.

Presidennya, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, langkah berani yang diperkenalkan melalui Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) itu merupakan tindakan perlu dan tepat pada masanya bagi melindungi kanak-kanak serta remaja daripada pelbagai risiko dunia maya yang semakin membimbangkan.

“Dalam era digital hari ini, media sosial sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan anak muda. Peraturan baharu ini penting bagi memastikan mereka tidak terdedah kepada buli siber, kandungan tidak sesuai, penipuan serta kemungkinan eksploitasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, inisiatif kerajaan itu selari dengan komitmen lama PPP dalam menjaga kebajikan, pendidikan dan perlindungan generasi muda di negara ini.

Menurutnya, larangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha nasional untuk mengekang bahaya internet sambil menggalakkan kerjasama antara ibu bapa, pendidik dan penyedia platform digital bagi mewujudkan persekitaran siber yang lebih selamat.

Loga Bala menambah, peraturan itu memberi perlindungan asas kepada golongan bawah umur yang mungkin belum mempunyai kematangan atau kesedaran mencukupi untuk mengendalikan ruang digital yang kompleks dan mudah dimanipulasi.

“Melindungi kesejahteraan digital anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama, melibatkan pengawal selia, penyedia perkhidmatan, ibu bapa dan komuniti. Peraturan ini memberi garis perlindungan minimum, terutama bagi keluarga yang mempunyai kekangan pengawasan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa penyedia platform media sosial, penyedia perkhidmatan internet dan pihak berkuasa digital agar melaksanakan penguatkuasaan secara tegas dan telus.

Pada masa sama, PPP menyeru ibu bapa dan para pendidik menggunakan peluang ini untuk meningkatkan literasi digital serta membentuk tabiat penggunaan internet yang sihat dalam kalangan remaja.

PPP, katanya, akan terus memperjuangkan polisi perlindungan kanak-kanak di peringkat nasional selain memperkukuh program pendidikan dan sokongan di peringkat komuniti.

“Ini bukan sekadar soal larangan, tetapi usaha membina persekitaran digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab untuk generasi masa depan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast