Xesco Munoz

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menganggap pertemuan anak buahnya dengan Shanghai Port FC pada perlawanan di sini malam esok amat penting, malah ia ibarat misi hidup dan mati.

Jurulatih kelahiran Sepanyol itu menntut kesebelasan JDT mempamerkan karakter positif sepanjang perlawanan dalam usaha memastikan kemenangan pada aksi Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) berdepan wakil China itu di Stadium Sultan Ibrahim.

“Sebaik perlawanan bermula, kami harus tampil dengan karakter lebih bertenaga dengan intensiti yang tinggi. Malah kami perlu membuktikan betapa JDT bukanlah pasukan mudah ditewaskan.

“Ia perlawanan penting buat kami dan akan memperincikan apa jua kelemahan bagi memastikan pemain tidak melakukan sebarang kesilapan kerana boleh mengubah permainan sekelip mata.

“Apa pun memang agak menyedihkan kerana kami masih lagi tidak dapat menggunakan khidmat Arif (Aiman Hanapi) yang belum pulih sepenuhnya dan kami akan berusaha menghasilkan kemenangan kali ini sebagai ‘hadiah’ kepadanya,” katanya dalam sidang akhbar menjelang perlawanan itu, hari ini.

Munoz berkata, peledak berbisa JDT, Bergson Da Silva hampir pasti diturunkan bagi menambah sengat jentera serangan pasukan.

Katanya, Bergson yang tidak diturunkan ketika berdepan kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) pada 4 Disember lalu bakal kembali beraksi bagi memburu jaringan buat pasukan.

“Dalam masa sama, kita juga berharap arkitek tengah JDT, Ager Aketxe akan turun menjalani latihan selepas mengalami kecederaan dalam tempoh yang agak lama.

“Kedua-duanya dilihat telah bersedia beraksi dalam kesebelasan utama namun semuanya bergantung kepada latihan rasmi malam ini (Isnin),” katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan skuad Harimau Selatan, Shane Lowry berazam memberikan aksi terbaik berdepan Shanghai Port FC esok.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Australia itu menegaskan, setiap pemain perlu memberikan fokus supaya mencapai tahap maksimum kerana tiga mata amat penting bagi memastikan JDT kekal dalam kelompok lapan terbaik saingan Zon Timur.

“Berbekalkan rekod yang baik beraksi di gelanggang sendiri, semestinya kami mahu meneruskan momentum itu. Apa yang diutamakan ialah mengekalkan intensiti permainan yang konsisten.

“Malah kehadiran penyokong juga penting kerana ia akan menaikkan motivasi kami beraksi di padang.

“Kita juga tidak boleh terlalu ghairah memburu kemenangan dan apa yang kami harapkan semua pemain sudah bersedia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast